Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemberhentian pekerja kilang simen di Chemor ikut prosedur - Exco


Tarikh kemaskini: 19/12/2018




IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Pemberhentian sembilan pekerja sebuah kilang simen di Chemor, di sini dibuat mengikut peraturan dan prosedur sewajarnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan.

Beliau berkata pengurusan kilang itu telah memberi satu bulan notis pemberhentian pada 15 Nov lepas dan sedia membayar pampasan mengikut Akta Kerja 1955 kepada yang telah bekerja lebih lima tahun  berdasarkan syarat ditetapkan. 

"Pada surat pemberhentian, majikan menyatakan alasan pemberhentian adalah disebabkan yang pertama mahu mengurangkan kos; kedua akibat penurunan projek dan ketiga kerana automasi sebahagian syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pekerja terlibat, pengurusan kilang, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di kilang berkenaan di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Sivanesan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang berkata walaupun memberhentikan pekerja adalah hak majikan, namun terdapat beberapa langkah lain boleh dipertimbang termasuk mengurangkan shif atau memberhentikan pemberian bonus.

Bersimpati dengan nasib pekerja terbabit, Sivanesan menyarankan semua mereka yang berumur antara 31 hingga 54 tahun membuat aduan kepada JPPM mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Jabatan itu akan mengadakan satu mesyuarat pendamaian dan jika gagal menyelesaikan di peringkat itu maka kes ini akan dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum dibawa ke Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Menurut Sivanesan pada Jun lepas, enam pekerja telah diberhentikan dan beberapa kes telah dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.

Kilang yang dibina 1964 itu, kini mempunyai 149 pekerja dan kesemua sembilan pekerja yang diberhentikan telah bekerja antara tiga hingga 23 tahun.

-- BERNAMA     

 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel