Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Satu pertiga daripada populasi anjing di Sarawak disuntik vaksin anti rabies


Tarikh kemaskini: 19/12/2018





PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak satu pertiga daripada kira-kira 300,000 anjing di Sarawak telah diberi suntikan vaksin anti rabies, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak melaksanakan pemvaksinan secara percuma bagi mengekang wabak rabies daripada terus merebak di negeri itu.

"Kita tahu di Sarawak, majoriti bahagian atau daerah adalah berisiko dan telah diisytihar sebagai kawasan jangkitan rabies kecuali Limbang.

"Dengan kadar kematian serta penularan yang semakin membimbangkan, langkah serius pemvaksinan anjing dilaksanakan dengan satu pertiga daripada populasi haiwan itu telah diberi suntikan," katanya pada sidang media selepas melancarkan produk ‘Stance Wheel’ hasil inovasi kementerian itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Urusan Medical Apparatus Supplies Sdn Bhd Md Azar Ismail, syarikat yang yang terlibat dalam pengkomersialan produk Stance Wheel.

Dr Lee berkata selain pemvaksinan haiwan, pihaknya turut membekalkan vaksin kepada pemilik atau individu yang digigit anjing, satu langkah serius dalam membendung segera penularan wabak itu yang semakin membimbangkan.

Sejak pengisytiharan wabak tersebut pada 1 Julai 2017, kes rabies di Sarawak sehingga semalam kekal 16 orang termasuk 15 kematian dengan kes terakhir adalah pada 10 Dis lepas.

Mengenai Stance Wheel, Dr Lee berkata inovasi ciptaan Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Perlis itu amat bermanfaat kepada pesakit yang menggunakan kerusi roda bagi mendapatkan rawatan di hospital atau mana-mana pusat perubatan.

Beliau berkata rekaan tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan berdasarkan elemen 'mesra pengguna' yang diterapkan, antaranya pesakit tidak perlu turun daripada kerusi roda yang digunakan sebaliknya ia boleh terus dicantumkan dengan Stance Wheel, sekali gus memudahkan proses rawatan, terutamanya pergigian.

"Ia juga amat mudah dikendalikan, ergonomik serta mampu milik dan seharusnya setiap hospital atau klinik pergigian memiliki rekaan ini," katanya.

Sementara itu, Md Azar berkata pihaknya menandatangani perjanjian pengkomersialan Stance Wheel dengan inovator dan Kementerian Kesihatan kerana tertarik dan yakin dengan potensi produk inovasi tersebut.

Kami menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 2,000 unit Stance Wheel untuk pasaran tahun hadapan dengan harga jualan ditetapkan antara RM3,000 hingga RM4,000 seunit, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel