Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua suri rumah rugi RM10,100 ditipu di laman sosial


Tarikh kemaskini: 19/12/2018




MIRI, 19 Dis (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM5,300 ditipu teman Facebook dari England yang baru dikenali selama tiga hari setelah dijanjikan diberikan barang bernilai RM80,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang wanita berusia 41 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama Calvin Lee pada Ahad lepas.

“Pada hari sama mangsa telah menerima mesej daripada WhatsApp bernombor 016-6322453 memberitahu ada barang dihantar kepadanya dan pada hari Isnin (17 Dis) mangsa dihubungi oleh seorang wanita bernama Norita menggunakan nombor yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberitahu wanita berkenaan yang barang dikirim dari England bernilai RM80,000 dan mangsa diminta untuk membayar RM5,300 untuk bayaran kepada ejen.

“Mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM5,300 ke dalam satu nombor akaun yang telah diberikan oleh wanita berkenaan menerusi WhatsApp pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi menerima mesej WhatsApp daripada nombor yang sama semalam  meminta untuk membayar wang berjumlah RM26,500 namun tidak dituruti mangsa lalu membuat laporan polis semalam juga.

Dalam kes kedua melibatkan seorang suri rumah di sini, beliau berkata, seorang wanita berusia 49 tahun kerugian RM4,800 diperdayakan oleh kenalan dari Amerika Syarikat bernama Ben O Lennon.

“Pada 2 Dis mangsa dihubungi lelaki berkenaan menggunakan WhatsApp nombor telefon 13212593719 dan lelaki tersebut ingin memberi hadiah kepada mangsa namun berat hadiah melebihi had minima,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dipinta membuat bayaran berjumlah RM4,800 kepada syarikat penghantaran Global Maritime Delivery Company dan pembayaran telah dibuat mangsa pada 14 Dis ke satu akuan bank diberi lelaki berkenaan.

“Mangsa sekali lagi terima panggilan daripada Soiyima Kiran di nombor telefon 016-2395460 meminta mangsa membayar RM10,800 lagi untuk insurans keluarkan barang pos itu ke akaun yang sama, namun mangsa tidak membuat sebarang pembayaran selepas itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel