Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPSP dan Think City anjur pertandingan reka bentuk kawasan 'mati'


Tarikh kemaskini: 07/12/2018




BUTTERWORTH, 7 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Think City Sdn Bhd  buat kali pertamanya melancarkan pertandingan mereka bentuk semula kawasan ‘mati’ atau ruang kosong yang terbiar di bawah jejambat.

Pengarah Program Think City Urban Dr Matt Benson berkata Think City dan MPSP dengan kerjasama Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) percaya melalui pertandingan itu mereka akan dapat satu cadangan yang terbaik untuk penggunaan ruang tersebut.

"Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan mereka bentuk ini yang kami fikir akan menarik beberapa arkitek dan pereka yang paling kreatif untuk mengubah ruang yang terbiar ini menjadi satu aset komuniti," katanya dalam sidang media di tapak pertandingan tersebut.

Satu taklimat kepada peserta berminat turut diadakan hari ini di tapak berkenaan bagi memberikan kefahaman yang lebih baik mengenai pertandingan dan tapak berkenaan.

Benson berkata tapak yang dipilih untuk pertandingan itu terletak di bawah Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), kira-kira 250 meter dari Penang Sentral.

Beliau berkata pembinaan BORR enam kilometer sepanjang 14 kilometer itu bertujuan mengurangkan kesesakan di Lebuhraya PLUS, tetapi secara tidak sengaja memisahkan Butterworth dari kawasan pantai, menyebabkan terputusnya hubungan bandar itu dan seterusnya berkuranganya orang berkunjung ke bandar tersebut.

"Untuk sekian lamanya Think City berusaha memikirkan bagaimana  hendak menjadikan ruang mati tersebut menjadi satu aset komuniti dan bagaimana kita dapat membina kesalinghubungan dan keselamatan kepada kawasan sekitar.

”Kita memerlukan mereka yang terbaik untuk memberikan cadangan penyelesaian … sebab itulah kami adakan pertandingan ini,” katanya.

Benson berkata komponen utama yang perlu diketahui oleh semua peserta pertandingan ini ialah cadangan itu perlulah berinovasi dan bagaimana cadangan itu boleh menghubungkan dengan masyarakat sekitar dan juga satu solusi yang boleh disesuaikan untuk digunakan ke seluruh Malaysia.

Seorang peserta, Nur Izzati Mohd Yusof, 23, yang merupakan pelajar Seni Bina Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)  berkata, pertandingan ini merupakan satu peluang terbaik untuk pelajar-pelajar mendapatkan pengalaman.

"Ini adalah satu peluang yang terbaik untuk pelajar seperti kami. ... kami bukan sahaja boleh mendapat pengalaman baru, kami juga berpeluang bersaing dalam industri sebenar sebelum kami tamat pengajian," katanya.

Satu lagi peserta, seorang graduan yang baru tamat pengajian dari Taylor's University Lim Zan Yu, 22, berkata pertandingan ini adalah peluang kepada mereka yang baru hendak menceburi bidang ini untuk menunjukkan kebolehan mereka dan juga boleh menjadi satu markah tambahan kepada portfolio dan resume mereka.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah RM10,000. Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia sama ada individu ataupun kumpulan ??????(bukan warganegara boleh menyertai pertandingan sebagai ahli kumpulan bersama dengan rakyat Malaysia yang lain).

Pertandingan bermula 5 Nov dan ditutup penyertaannya pada 25 Jan 2019. Butiran lanjut berkaitan pertandingan boleh didapati di ilamalaysia.org/borrcompetition.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel