Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Negeri Perak akan bina dua pintu air atasi banjir


Tarikh kemaskini: 30/11/2018




PARIT BUNTAR, 30 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan membina dua pintu air secara manual bagi menangani masalah banjir akibat hujan lebat dan air laut pasang yang berlaku di Taman Kurau dan Pekan Kuala Kurau di Kuala Kurau, bermula tahun depan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata  projek yang membabitkan kos di bawah RM10,000 setiap satu itu bagi memudahkan air mengalir keluar ke Sungai Kurau dan mengelak air laut pasang dari memasuki kedua-dua kawasan tersebut.

Beliau berkata selain itu, tembok tebing sepanjang 30 meter sedia ada juga akan ditinggikan di Pekan Kuala Kurau bagi memastikan air laut pasang tidak melimpah ke Pekan Kuala Kurau.

"Saya percaya dengan pelaksanaan projek berkenaan masalah banjir dan air laut pasang dapat ditangani demi keselesaan dan mengurangkan kerosakan àkibat banjir kepada penduduk di sini," katanya dalam sidang media selepas meninjau masalah banjir di Taman Kurau dan Pekan Kuala Kurau di sini hari ini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata pihaknya juga meminta penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang dan parit bagi memastikan pintu air sedia ada dapat berfungsi apabila berlakunya hujan lebat.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri bercadang memindahkan kira-kira 50 rumah penduduk di Kampung Tersusun Parit Sungai Melan, Kuala Kurau ke penempatan baharu di kawasan Bagan Tiang.

Katanya, ini kerana penduduk menghadapi masalah seperti air laut pasang memasuki kawasan kampung menyebabkan rumah tidak dapat dibina dan isu sukat lot tanah yang bertindih menjadi punca rumah tidak dapat dibina di kawasan itu.

"Kos untuk menambak benteng untuk menyekat air laut pasang terlalu tinggi dan kerajaan mencadangkan penduduk dipindahkan ke penempatan baru yang sudah mempunyai kemudahan asas.

Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah sudah membuat cadangan itu dan kerajaan akan berbincang dengan penduduk untuk mendapatkan persetujuan berpindah," katanya.

Menurut beliau, kerajaan boleh mengambil balik kawasan itu untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan yang dapat menjana pendapatan bagi industri pelancongan di daerah ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel