Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesakit kanser limfoma tetap cemerlang dalam pelajaran


Tarikh kemaskini: 30/11/2018




ALOR SETAR, 30 Nov (Bernama) -- Menghidap kanser darah jenis limfoma tahap tiga dan terpaksa ponteng sekolah kerana hospital umpama rumah kedua, bukanlah ‘tiket’ bagi Nurin Amera Aleya Mohd Khairi, 11, untuk tidak mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Bapanya, Mohd Khairi Mohamad, 38, berkata anak sulung daripada dua beradik itu mula dikesan menghidap penyakit itu pada Januari tahun lalu, selepas mengalami demam berlarutan, hidung berdarah serta bengkak di kedua belah leher.

Sejak itu murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma (SKSA) itu, tidak lagi dapat ke sekolah kerana perlu mendapatkan rawatan  kemoterapi yang menyebabkan dia kerap letih dan tidak bermaya.

“Semasa berada di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP), dia rajin baca buku dan buat latihan dan tahun ini (darjah lima), dia mula bersekolah semula, kami terkejut semasa peperiksaan awal tahun dia dapat nombor satu dalam kelas dan akhir tahun pun kekal nombor satu.

Sekarang dia tengah kumpul duit nak beli telefon pintar supaya mudah nak cari maklumat untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti, “ katanya ketika ditemui di rumah mereka di Simpang Makam Diraja Langgar di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, anaknya juga sangat minat melukis kartun dan bercita-cita menjadi kartunis selain menjadi seorang doktor.

Kakitangan Pos Malaysia itu berkata setiap bulan, dia dan isteri terpaksa berulang alik beberapa kali ke HPP untuk kemoterapi serta mendapatkan rawatan susulan anaknya, dan kos setiap perjalanan mereka untuk berulang alik ke hospital itu mencecah lebih RM200.

“Gaji saya tak seberapa, isteri pula kadang-kadang tak pergi kerja sebab jaga anak kami. Nurin Amira Aleya juga minum susu khas berharga RM88 satu tin yang hanya tahan empat hari selain perbelanjaan keperluan seorang lagi anak yang bersekolah darjah dua,” katanya.

Kesulitan dihadapi keluarga Nurin Amira Aleya mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang tampil menyumbangkan peralatan sekolah dan keperluan makanan kepada kanak-kanak itu.

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah  menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Mohd Khairi Mohamad bernombor 02105020208037 atau hubunginya di talian 018-9427134.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel