Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja naik taraf ITSAS bermula Disember ini


Tarikh kemaskini: 29/11/2018




IPOH, 29 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta untuk menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang dijangka bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata kerja-kerja menaik taraf itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun hadapan, meliputi kemudahan asas penumpang selain kawasan operasi kapal terbang dan helikopter.

"Kerja-kerja menaik taraf ini dilakukan selepas kita melihat peningkatan yang berlaku khususnya merujuk kepada bilangan penumpang di LTSAS.

"Dengan lebih ramai pengunjung yang datang, kita rasa mereka tidak boleh diletakkan di lapangan terbang dengan kemudahan sedia ada sahaja, dan untuk itu kerja-kerja menaik taraf itu perlu dibuat," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (DAP-Bercham) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini. 

Ong ingin tahu mengenai kerja menaik taraf yang akan dijalankan khususnya bagi menjamin keselesaan penumpang yang menggunakan perkhidmatan di LTSAS.

Tan berkata kerajaan negeri juga sedang giat melakukan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan dalam dan luar negara untuk mewujudkan lebih banyak destinasi penerbangan ke Ipoh, sekali gus mampu meningkatkan lagi kedatangan pelancong.

Menjawab soalan tambahan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) berkaitan pembangunan pelancongan di kawasannya, Tan berkata perkara itu akan diberikan diberi perhatian memandangkan Pengkalan Hulu bersempadan dengan Thailand.

Beliau berkata pembangunan bandar secara sistematik di kawasan itu dilihat berpotensi untuk menarik kedatangan pengunjung, terutamanya pelancong asing.

"Ditambah pula dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Betong, Thailand yang akan siap sepenuhnya pada hujung tahun depan, kita fikir peluang ini harus digunakan untuk menarik pelancong luar datang ke Pengkalan Hulu," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel