Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zhejiang XSD dari China bantu Kedah bangunkan industri kertas mesra alam


Tarikh kemaskini: 29/11/2018





ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Kedah akan mencatatkan pencapaian baharu dalam pembangunan industri kertas mesra alam dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Invest Kedah Bhd dan Zhejiang XSD Holding Group Co Ltd (Zhejiang) dari China.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata industri kertas mesra alam itu akan diwujudkan di Padang Meha, Kulim dan bagi fasa pertama, ia dijangka membawa masuk pelaburan bernilai lebih RM1.2 bilion.

Beliau berkata Zhejiang mengeluarkan papan dupleks bersalut bagi pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah, dan projek itu akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut, selain mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Projek itu dapat mewujudkan banyak kesan limpahan dan membantu meningkatkan kehidupan penduduk tempatan yang pada masa sama meningkatkan pendapatan negeri. Kami turut percaya pelaburan itu akan terus meningkat berikutan pelabur China menunjukkan keyakinan mereka terhadap negeri ini.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Kedah menerima pelaburan sebanyak RM 771.15 juta, dengan RM482.91 juta daripada pelaburan langsung asing (FDI).

"Pada 2017, FDI terbesar negeri sebanyak RM773 juta diterima dari China,” katanya pada majlis pemeteraian MoU itu di sini hari ini.

Mukhriz berkata perjanjian itu menunjukkan negeri mempunyai prasyarat sedia ada yang akan menarik pelabur, iaitu kemudahan yang sesuai, utiliti, modal insan dan persekitaran yang mesra perniagaan.

Di bawah MoU itu, Invest Kedah akan memudahkan, menggalakkan dan membantu Zhejiang XSD dalam pembangunan projek kertas mesra alam tiga fasa bernilai lebih RM3.7 juta.

Susulan pemeteraian MoU itu, Mukhriz berkata Zhejiang XSD turut menandatangani perjanjian jual beli plot tanah seluas 121.4 hektar daripada Sime Darby Property Bhd, lokasi terletaknya kilang kertas mesra alam yang baharu.

Kilang tersebut, dijangka memulakan operasi pada pertengahan 2020, akan membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan juga negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel