Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua remaja geng curi motosikal ditahan


Tarikh kemaskini: 17/11/2018




BUKIT MERTAJAM, 17 Nov (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan dua remaja lelaki yang sudah tidak bersekolah dalam serbuan berasingan di Tanah Liat, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menahan remaja pertama dalam serbuan di rumahnya pada pukul 8 malam sebelum menyerbu rumah rakannya dan menahan suspek kedua dua jam kemudian.

"Susulan penahanan dua remaja yang dibuang sekolah itu, polis merampas pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan antaranya 12 ekzos, kulit enjin (10), rim (tujuh), blok (lima) dan enjin (lima)," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mereka mempunyai peranan masing-masing iaitu remaja pertama akan mencuri motosikal di sekitar daerah SPT sebelum membawa kenderaan itu ke rumah rakannya untuk dileraikan komponennya manakala rangka motosikal dibuang di tepi landasan keretapi di sini.

Katanya dua remaja itu dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas dan polis tidak menolak kemungkinan dengan penahanan mereka pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 10 kes curi motosikal.

Nik Ros Azhan berkata siasatan juga mendapati geng itu mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan hasil kegiatan menjual komponen motosikal yang mereka curi tersebut.

"Pemeriksaan di kawasan landasan keretapi, polis berjaya menemui lima rangka motosikal pelbagai jenis dan dua remaja itu kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis turut menahan dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun kerana memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Rawa di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mereka membeli daun ketum dari negeri jiran sebelum memproses air ketum dan menjual kepada pembeli sekitar Bukit Mertajam dengan harga RM5 sebungkus.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 14 bungkusan plastik air ketum dalam satu bekas polistrin dipercayai untuk dijual kepada pembeli mereka. Dua lelaki yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel