Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan P.Pinang beri keutamaan dalam infrastruktur ICT untuk capai status bandar pintar


Tarikh kemaskini: 15/11/2018





GEORGE TOWN, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan mengutamakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai kemudahan asas bandar dalam usaha menuju visi Bandar Pintar Bertaraf Antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pembangunan bandar pintar juga telah menjadi intipati utama wawasan Ketua Menteri Pulau Pinang menuju Negeri Pintar, Hijau, Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Negara menjelang tahun 2030.

"Untuk itu, saya akan memastikan semua portfolio saya mempunyai ciri-ciri bandar pintar yang bertemakan "Data is King, Talent is Everything"," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata konsep Bandar Pintar Pulau Pinang adalah dibangunkan dengan mengutamakan infrastruktur ICT sebagai kemudahan asas bandar termasuk pembinaan menara telekomunikasi, "smart pole" dan Wifi.

"Melalui pelaksanaan polisi Pintu Terbuka kini, kerajaan sedang membangunkan beberapa projek "Proof of Concept" hasil kerjasama dan pelaburan pelbagai syarikat pembekal infrastruktur telekomunikasi dan digital," katanya.

Tambahnya, antara kerjasama kerajaan dalam melaksanakan inisiatif pintar termasuk projek "Smart City of Penang" dengan kerjasama Intel Electronic Sdn Bhd, "Smart Home Kit" dengan usaha sama dengan pihak Celcom dan "Smart Bus Stop" hasil kerjasama dengan Syarikat Axiata Group Bhd dan edotco.

Jagdeep berkata inisiatif Bandar Pintar ini adalah meliputi lima domain pintar iaitu Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar, Mobiliti Pintar, Ekonomi Pintar dan Kerajaan Pintar.

"Sehingga kini, terdapat 22 inisiatif yang telah disahkan sebagai inisiatif yang berkaitan Bandar Pintar dan 10 inisiatif Bandar Pintar telah dirancang untuk dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Negeri dalam usaha mengukuhkan tadbir urus berkaitan transformasi digital agar selaras dengan tadbir urus Bandar Pintar serta polisi, telah menetapkan empat teras strategik berkaitan pembangunan Bandar Pintar.

Katanya, empat teras itu termasuk Infrastruktur, Data, Tadbir Urus dan Rakyat melalui penubuhan "Penang Smart Delivery Unit" (PSDU) di bawah pentadbiran Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"PSDU telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan inisiatif Bandar Pintar di Pulau Pinang melalui pelaksanaan oleh jabatan dan agensi negeri semenjak beberapa tahun yang lalu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel