Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perlis dan empat daerah dipilih projek perintis kajian masalah keciciran pelajar


Tarikh kemaskini: 26/10/2018




NILAI, 26 Okt (Bernama) -- Empat daerah di negara ini dan negeri Perlis dipilih sebagai projek perintis   untuk kajian mengenai masalah keciciran dalam kalangan pelajar di negara ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Beliau berkata selain seluruh negeri Perlis, empat daerah itu ialah Langkawi di Kedah; Hulu Langat, Selangor; Simpang Renggam, Johor dan Pasir Mas, Kelantan.

"Masalah keciciran di sesuatu tempat itu berbeza-beza sebabnya dan penyelesaiannya juga mesti berbeza-beza. Menerusi projek perintis ini kita kumpul data dan statistik serta kita minta pihak sekolah pergi tengok bersama komuniti di mana pelajar ini dan apa masalah yang dihadapi dan seterusnya mengatasinya.

Projek perintis ini mengambil masa kitaran setahun dan telah bermula sejak bulan lepas. Kita mengambil serius isu keciciran ini walaupun seorang daripada 5,000 orang pelajar tercicir. Kita pastikan ada cara untuk bawa mereka balik ke sekolah...itu tujuannya, “ katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Konvensyen Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti Peringkat Kebangsaan 2018 di Institut Aminuddi Baki dekat sini, hari ini.

Masalah keciciran pelajar bukanlah satu masalah besar tetapi Kementerian Pendidikan beriltizam mahu mencapai sifar keciciran dan perlu ada usaha untuk membawa golongan ini kembali belajar di sekolah  supaya  tidak ada seorang pun tercicir dalam Malaysia menuju ke arah menjadi sebuah negara maju, katanya.

"Kita kena ambil kira  walaupun hal-hal kecil. Masalah keciciran ini memerlukan banyak intervensi untuk memastikan kanak-kanak gembira di sekolah. Konsep kebahagiaan, kasih sayang dan penghormatan yang matang yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan supaya anak-anak ini berasa lebih selesa duduk di sekolah, berbanding di rumah sendiri.

"Saya pergi melawat ke Sekolah Kebangsaan St. Benedict, Kuching (Sarawak) baru-baru ini dan guru beritahu budak-budak demam pun datang ke sekolah. Mereka seronok ke sekolah dan hari ini kita ada contoh itu. Jadi, bagaimana kita nak mewujudkan suasana seperti itu di semua sekolah supaya menghalang mereka daripada tercicir," katanya.

Sementara itu, katanya konvesyen yang julung kali diadakan anjuran Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK) itu bertujuan untuk mentransformasi kepimpinan, pendekatan dan perkongsian ilmu dalam kalangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi membentuk generasi cemerlang pada masa hadapan.

Katanya menerusi kebersamaan PIBG sebagai rakan aktif dengan komuniti dan kumpulan, sudah pasti dapat membantu pihak sekolah dengan sokongan penuh daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN untuk melakukan anjakan minda, melonjakkan prestasi akademik serta membentuk sahsiah murni dalam kalangan pelajar.

"Ini selari dengan hasrat kita untuk menjadikan sekolah sebahagian daripada masyarakat, masyarakat sebahagian daripada sekolah, menjadikan sekolah milik kita bersama. Itulah agenda yang dibawa oleh KPIBKK untuk sama-sama membantu pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memastikan akademik, sahsiah dan ko-kurikulum pelajar serta infrasturktur sekolah lebih berjaya dan cemerlang. Hasil daripada konvensyen ini akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan untuk dipertimbangkan," katanya.

-- BERNAMA                       

 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel