Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LTA kendali Lapangan Sasar Golf Awam Langkawi


Tarikh kemaskini: 25/10/2018




LANGKAWI, 25 Okt (Bernama) --  Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) mengambil alih pengendalian lapangan sasar golf awam Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini  bagi  menyemarakkan  kembali  minat orang ramai menggunakan kemudahan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Azizan Noordin hari ini berkata sebagai permulaan, kemudahan berhampiran Kompleks Sukan LADA itu akan dibuka secara percuma kepada penduduk sekitarnya yang berminat berusia 17 tahun dan ke bawah, sebelum dibuka secara rasmi kepada orang ramai mulai 1 Nov ini.

“Melalui persetujuan dengan LTA, sebuah kafeteria, sebuah surau dan lebih banyak lot letak kenderaan akan disediakan di lapangan sasar itu pada masa akan datang untuk kemudahan mereka yang ingin berlatih membuat pukulan di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lapangan sasar ini juga akan menyediakan khidmat pemain golf profesional bagi membantu peminat sukan berkenaan ketika menjalani latihan.

“Lapangan sasar ini akan menjadi pelengkap bagi usaha mempromosi permainan golf di pulau ini, yang ketika ini mempunyai tiga padang golf, termasuk The Els, yang dianggap bertaraf dunia,” katanya.

Azizan berkata usaha mengaktifkan kembali lapangan sasar itu merupakan satu lagi kejayaan  dalam  usaha  mencungkil pemain golf berbakat di Langkawi, setelah pulau ini berjaya melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dalam sukan perahu layar dan beberapa sukan lain.

“Lapangan sasar ini juga bertujuan menunjukkan bahawa golf bukan sukan untuk golongan berada sahaja, tetapi  semua orang mampu menikmatinya,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTA Zainudin Kadir berkata berikutan pengambilalihan operasi lapang sasar berkenaan, pihaknya merancang menaja beberapa pemain muda golf Langkawi untuk menyertai kejohanan tempatan dan di luar pulau ini.

“Kami ada beberapa pemilik produk pelancongan yang menunjukkan komitmen untuk menyumbang  kepada kejayaan rancangan itu, yang saya harap akan menjadikan Langkawi bukan sahaja terkenal dalam bidang pelancongan, tetapi juga kerana pencapaian dalam permainan golf,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai MA63 akan ditubuhkan - Liew

 
     

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel