Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis jalankan siasatan kejadian tanah runtuh Bukit Kukus


Tarikh kemaskini: 25/10/2018




GEORGE TOWN, 25 Okt (Bernama) -- Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini Jumaat lepas yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing manakala seorang lagi dilapor hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainal Samah berkata pasukan khas yang diketuai oleh beliau itu akan menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai aspek untuk melihat sama ada terdapat  kecuaian dalam kejadian itu.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan dan sehingga hari ini seramai 18 individu termasuk keluarga mangsa, pakar-pakar berkaitan dan kontraktor projek telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

"Lebih ramai lagi yang akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dan polis akan cuba melengkapkan kertas siasatan kejadian itu secepat mungkin sebelum diserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga akan mengambil keterangan mangsa yang terselamat dalam kejadian itu selepas  keadaan mereka stabil.

Zainal berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain yang turut menjalankan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh itu antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku  di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus pada Jumaat lepas itu mengakibatkan sembilan pekerja asing maut manakala empat cedera.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lepas itu turut menimbus 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja projek. 

Insiden tanah runtuh di Paya Terubong itu merupakan kejadian kedua seumpama itu berlaku di Pulau Pinang selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan.

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     

Pandelela fokus terjunan baharu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel