3kyHhkiAyT0 Penduduk tiga kampung di Changkat Jong hadapi banjir saban tahun
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk tiga kampung di Changkat Jong hadapi banjir saban tahun


Tarikh kemaskini: 25/10/2018





TELUK INTAN, 25 Okt (Bernama) -- Penat belum habis, banjir lagi. Itulah yang boleh diungkapkan nasib penduduk tiga kampung di Changkat Jong, dekat sini apabila kediaman mereka dinaiki air selepas kejadian sama berlaku kurang dua minggu lepas.

Kejadian banjir di Hilir Perak yang dilaporkan melanda kawasan Changkat Jong awal pagi semalam merupakan gelombang kedua dan agak teruk berbanding kejadian banjir sebelumnya akibat limpahan air Sungai Bidor susulan hujan lebat sejak Selasa.

Tinjauan Bernama ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong mendapati sehingga pukul 3 petang tadi, terdapat pertambahan enam mangsa banjir membabitkan empat keluarga baru dipindahkan, menjadikan keseluruhan 233 mangsa daripada 62 keluarga ditempatkan di PPS itu.

Ia membabitkan mangsa banjir dari Kampung Batu 7, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.

Seorang penduduk Norzaina Abidin, 42, dari Kampung Batu 7, berkata penduduk di sini sudah lali dengan banjir kerana masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan mengakibatkan banyak kerosakan serta kerugian harta benda yang terpaksa mereka tanggung.

"Memang dah jangka banjir akan datang lagi selepas tengok air sungai masih tinggi dan ditambah pula hujan tidak berhenti.

Mak cik dan lain-lain dah letih berdepan kejadian ini saban tahun, bila dah tak larat nak alihkan perabot dan barang-barang yang besar, mak cik biar dan tawakal sajalah. Itu belum lagi ditambah dengan keletihan proses membersihkan rumah selepas banjir," katanya yang merupakan ibu tunggal tiga anak itu.

Bagi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Changkat Jong, Ahmad Nor Selamat berkata banjir gelombang kedua itu disebabkan oleh limpahan air Sungai Bidor yang di luar jangka hinggakan melepasi tebatan banjir yang dibina di tebing sungai itu, berhampiran kampung berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Mohd Azroisan Wahab ketika ditemui dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak berkata angka mangsa banjir Hilir Perak dijangka lebih ramai jika taburan hujan di kawasan itu semakin meningkat.

"Perkembangan banjir di kawasan ini semakin meningkat, harap penduduk di sekitar Hilir Perak, terutama di Changkat Jong mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak kami dan APM agar berpindah segera ke PPS jika diminta berbuat demikian," katanya yang melihat masih ramai penduduk membiarkan anak-anak bermain air banjir dan enggan meninggalkan kediaman.

Selain daerah Hilir Perak yang terjejas dengan banjir ini, dua lagi daerah turut dilanda banjir masing-masing di Daerah Kampar dan Daerah Larut Matang Selama.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, sehingga 3 petang tadi, di Daerah Larut Matang Selama, 46 orang daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS yang masih dibuka iaitu di SK Temerlok, Trong, dan Dewan Orang Ramai Kampung Matang Gelugor

Sementara di daerah Kampar pula, 46 penduduk daripada 14 keluarga kekal berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tebing Tinggi.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel