Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

101 mangsa banjir masih di pusat pemindahan di Pulau Pinang


Tarikh kemaskini: 24/10/2018





GEORGE TOWN, 24 Okt ( Bernama) -- Seramai 89 mangsa banjir kilat di Teluk Kumbar, dekat sini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah  Kebangsaan Teluk Kumbar ( SKTK) selepas rumah mereka dinaiki air hingga hampir satu meter berikutan hujan lebat sejak semalam.

Pengerusi Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata 89 mangsa dari 25 keluarga itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan itu sejak pukul 11 malam hingga 3.30 pagi ini.

"Keadaan banjir di kawasan Teluk Kumbar semakin teruk semalam dan banyak rumah penduduk yang dimasuki air jadi kami membuka satu pusat pemindahan pukul 11 malam.

"Mereka yang ditempatkan di situ terdiri daripada 60 orang dewasa dan 28 kanak-kanak serta seorang bayi lelaki. Sehingga pukul 11 pagi ini semua mangsa masih berada di pusat pemindahan itu namun banjir dekat rumah mereka telah surut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata selain mereka, 12 mangsa banjir kilat di Titi Teras, Balik Pulau turut ditempatkan di pusat pemindahan  sementara di Sekolah Kebangsaan Titi Teras selepas rumah mereka dinaiki air.

Phee berkata semua mangsa dijangka dibenar pulang ke rumah masing-masing petang ini, selepas mangsa selesai mencuci kediaman mereka.

Sementara itu, pegawai khas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Mohd Firdaus Mohd Safri berkata pejabat ADUN Bayan Lepas turut membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk yang rumah mereka dilanda banjir kilat dipindahkan segera ke pusat pemindahan banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya pejabat ADUN Bayan Lepas turut menyediakan makanan kepada semua mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan banjir.

Beberapa kawasan di Pulau Pinang dinaiki air berikutan hujan lebat selama dua jam mulai pukul 1 tengah hari semalam.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Balik Pulau dan Teluk Kumbar di bahagian pulau manakala di seberang ialah Perai, Butterworth, Taman Inderawasih, Jalan Perusahaan, Kampung Padang Lalang, Bandar Perda dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel