Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah Integriti Penjara Pusat Kota Kinabalu bantu banduan buka lembaran hidup baharu


Tarikh kemaskini: 17/10/2018





KOTA KINABALU, 17 Okt (Bernama) -- Bagi seorang bekas banduan yang cuma ingin dikenali sebagai 'Boy', pepatah Melayu yang mengatakan 'sudah terantuk baru tengadah' memang amat tepat untuk menjelaskan kesilapan dalam hidup yang ditempuhinya.

Bagaimanapun, Boy yang berusia 21 tahun berazam membetulkan kesilapannya memiliki senjata api jenis 'bakakuk'(senapang buatan sendiri) sehingga dihukum penjara tiga tahun empat bulan, agar 'pisang tidak berbuah dua kali'.

Boy yang insaf dan berkelakuan baik sepanjang menjalani hukumannya mendapat parol dan dibebaskan lebih awal selepas berada dalam penjara selama dua tahun dua bulan seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat diploma di sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini.

Semuanya atas inisiatif pihak Penjara Pusat Kota Kinabalu melalui Sekolah Integriti Kota Kinabalu yang ada di dalam penjara berkenaan.      

"Semasa dimasukan ke penjara, saya fikir masa depan saya sudah gelap," kata Boy yang hanya menamatkan persekolahan peringkat menengahnya hingga tingkatan 2, pada majlis Restu Ilmu SPM Sekolah Integriti Kota Kinabalu di sini hari ini.

Boy hadir ke majlis berkenaan atas jemputan pihak penjara untuk berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada tujuh banduan di Penjara Pusat Kota Kinabalu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini.

"Saya masuk penjara barulah saya memahami dan menghargai harga erti kebebasan. Di penjara ini sunyi, terkurung dan rindu kepada keluarga," katanya yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semasa di sekolah rendah .

Katanya walaupun pencapaian UPSRnya baik namun akibat pengaruh kawan dan enggan mendengar nasihat ibu bapa, beliau sering ponteng sekolah kerana mengunjungi siber cafe sebelum digantung dan akhirnya dibuang sekolah semasa dalam tingkatan 2.

Akhirnya, beliau ditangkap memiliki senjata api buatan sendiri yang digunakannya semasa berburu.

Kini,  Boy yang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Integriti Kota Kinabalau di dalam Penjara Kota Kinabalu pada 2017 berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT selepas berjaya memperoleh keputusan dua B dan masing-masing satu B+, C+, C dan E dalam peperiksaan itu.

"Hormatilah orang tua kita, jangan degil, dengarlah nasihat orang tua, jangan tinggal solat lima waktu dan jangan terikut-ikut dengan kawan untuk lakukan perkara-perkara negatif," nasihat Boy.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Zulkifli Abdul Manah berkata masa ini lapan bekas banduan yang pernah menduduki SPM di dalam penjara berkenaan kini sedang melanjutkan pengajian di beberapa institusi penganjian awam di Sabah.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel