Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah sasar sumbangan sektor industri cecah 35 peratus


Tarikh kemaskini: 16/10/2018




KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sabah menyasarkan untuk melonjakkan sumbangan sektor perindustriannya mencecah 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 20 tahun berbanding 7.5 peratus, ketika ini.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Industri Sabah, Tseu Kei Yue berkata pertumbuhan itu disasarkan dalam beberapa bidang termasuk industri hiliran berasaskan sumber khususnya minyak sawit serta minyak dan gas.

“Kami akan turut meninjau industri bukan berasaskan sumber lainnya seperti automotif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar program Siri Pelaburan : Potensi Perniagaan Sabah oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Tseu berkata sumbangan sektor industri kepada KDNK negeri itu dijangka meningkat sebanyak 1.0-2.0 peratus setahun selain mewujudkan antara 15,000-19,000 pekerjaan setahun.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, kementerian itu mengharapkan sokongan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mewujudkan pengubah pembangunan seperti pelabuhan serta rangkaian jalan raya.

Pada masa ini, sumbangan utama kepada KDNK Sabah adalah sektor perkhidmatan, khususnya pelancongan yang menyumbang sebanyak 41 peratus, katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA (Pembuatan dan Pembangunan Perkhidmatan), Arham Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya berkata Sabah kaya dengan kelebihan sumber semula jadi dan menjadikkan antara destinasi pelaburan berpotensi besar di Malaysia.

“Setakat Disember 2017, sebanyak 761 projek pembuatan membabitkan pelaburan bernilai RM15.1 bilion telah dilaksanakan di Sabah dan mewujudkan lebih 90,000 pekerjaan, khususnya dalam bidang seperti pengeluaran makanan, kertas, percetakan dan penerbitan, pengeluaran kayu dan produk berasaskannya serta  bahan kimia dan produknya,” katanya.

Menurutnya, Sabah juga telah meluluskan pelaburan lebih RM40 juta dalam separuh pertama tahun ini membabitkan pengeluaran makanan dan produk fabrikasi.

Arham berkata, penekanan terhadap Revolusi Perindustrian 4.0 juga menyaksikan kerajaan memperkenalkan beberapa insentif seperti Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) menerusi MIDA.

Dana itu menyasarkan syarikat milik rakyat tempatan yang berhasrat menumpukan aktiviti nilai tambah, teknologi tinggi, intensif pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.

Sejak diperkenalkan pada 2012, MIDA telah meluluskan sejumlah 308 projek dengan nilai pelaburan RM14.7 bilion manakala jumlah geran diluluskan bernilai RM1.51 bilion.

Namun, Arham berkata, tiada syarikat Sabah yang mendapat manfaat itu setakat ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel