Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesara kerajaan rugi lebih RM300,000 ditipu Macau Scam


Tarikh kemaskini: 16/10/2018





KUCHING, 16 Okt (Bernama) – Seorang pesara kerajaan dari Padawan, dekat sini kerugian RM305,956 wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) akibat ditipu sindiket 'Macau Scam' dalam kejadian terbaharu di negeri ini.

Mangsa seorang wanita berusia 65 tahun diperdaya sindiket tersebut untuk membuka akaun bank baharu, seterusnya memindahkan wang ASB itu bagi membantu siasatan selepas didakwa memiliki hutang bank serta terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata wanita itu ditipu menggunakan modus operandi tetap sama iaitu membuat panggilan kepada mangsa dengan menyamar seba­gai kakitangan mahkamah dan pegawai polis.

"Pada 27 Sept lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang dikenali sebagai Siti Rohana Abdullah dari Mahkamah Kuala Terengganu mengatakan beliau ada meminjam duit sebanyak RM50,000 Hong Leong Bank Kuala Terengganu serta memaklumkan jika tidak membayar hutang tersebut akan disenarai hitam. 

"Wanita itu menjelaskan tidak dapat pergi ke Kuala Terengganu untuk membayar hutang tersebut sebelum talian telefon telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Halim Hashim dari IPK Kuala Terengganu yang mendakwa mangsa juga terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafa Kamal berkata mangsa sekali lagi dihubungi 'Sarjan Halim Hashim' sehari kemudian (28 Sept) yang memintanya membeli telefon bimbit, tetapi mangsa beritahu tiada masa untuk membeli telefon bimbit baru dan terpaksa aktifkan semula telefon bimbit lama atas kemahuan suspek.

"Mangsa telah diarahkan membeli satu nombor baru untuk tujuan siasatan polis yang mana akan diminta oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor. Pada 1 Oktober mangsa telah diarahkan ke Affin Bank untuk membuka akaun baru dan memindahkan wang ASB beliau ke dalam akaun tersebut.

“Mangsa juga diminta untuk menghantar nombor kad ATM baru Affin Bank iaitu nombor di depan dan belakang kad bank itu. Seterusnya mangsa telah diarah memberikan nombor telefon Sarjan Halim kepada pihak bank sekiranya ada panggilan dari pihak bank untuk tujuan penghantaran nombor PUK atau urusan yang melibatkan transaksi online,” katanya.

Beliau berkata pengadu telah memindahkan semua wang ASB miliknya berjumlah RM306,033.57 ke dalam akaun Affin Bank yang baru dibuka itu. 

Menurutnya berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan di bank mendapati baki duit hanya tinggal RM77.57 sebelum membuat laporan polis semalam.

Mustafa Kamal berkata secara keseluruhan pihaknya menerima lapan laporan berkenaan Macau Scam serta dua laporan berkenaan ‘Parcel Scam’ di seluruh negeri semalam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel