Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bajet 2019: Belia Sarawak mahukan lebih banyak program pendidikan dan peluang latihan


Tarikh kemaskini: 16/10/2018





Oleh Anasathia Anak Jenis

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu kerajaan memberi tumpuan yang lebih lagi dalam Bajet 2019 terhadap program pendidikan sekolah dan pusat latihan belia di Sarawak selain projek pembangunan infrastruktur luar bandar.

Timbalan Ketuanya Fazruddin Abdul Rahman dalam menyuarakan keperluan belia di Bumi Kenyalang itu berkata pada masa yang sama, penekanan lebih harus diberikan kepada program pembangunan pendidikan teknikal.

"Ia haruslah menyeluruh termasuk panduan dan nasihat kepada lepasan sekolah dan institusi pendidikan tinggi untuk menceburi bidang perniagaan khususnya dalam bidang teknikal. 

"Contohnya konsep inkubator boleh diwujudkan dengan menyediakan peralatan-peralatan yang boleh digunakan oleh belia-belia untuk menjana pendapatan khasnya memandangkan mereka sukar membeli peralatan itu di peringkat permulaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 

Tegasnya program yang berhubung kait dengan pelbagai agensi yang berlainan juga haruslah dikawal selia oleh sebuah jawatankuasa atau diketuai oleh mana-mana agensi agar penyelarasan dalam penggunaan dana dapat dioptimumkan. 

"Saya juga mengharapkan penyelarasan dan hubungan antara agensi-agensi dapat dimantapkan lagi agar tidak berlaku pertindihan," kata anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong itu lagi. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Dayak Sarawak (Pebedas) berharap agar kerajaan dapat memberi perhatian kepada soal ekonomi golongan belia di Sarawak dengan pemberian dana bantuan keusahawanan dalam bajet itu nanti.

Presidennya Alexander Frederick Diglin berkata golongan ini sememangnya memerlukan bantuan bukan sahaja untuk memajukan perniagaan mereka, tetapi juga untuk menanggung kos sara hidup. 

"Kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme supaya sekiranya peruntukan yang ada dapat dibahagikan dengan adil dan menyeluruh, agar mereka yang benar-benar memerlukan akan mendapat manfaat," katanya. 

Beliau juga mencadangkan dana khas untuk sukarelawan belia bagi membolehkan mereka menyebarkan maklumat kepada para belia di Sabah dan Sarawak yang mempunyai akses terhad kepada sumber itu. 

Alexander juga menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai untuk sebarang aktiviti berkaitan dengan belia. 

Bajet 2019 akan dibentang oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 Nov. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel