Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki geng curi motosikal ditahan


Tarikh kemaskini: 14/10/2018




BUKIT MERTAJAM, 14 Okt (Bernama) -- Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Teh, Machang Bubok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis menyerbu rumah itu pada 11 pagi dan dua lelaki berusia 31 tahun yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak cuba melarikan diri, namun mereka berjaya ditahan di belakang rumah berkenaan.

"Pemeriksaan di rumah itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Honda Waze dan semakan mendapati ia dilaporkan hilang di Taman Rishah, di sini baru-baru ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, dua lelaki itu terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah SPT serta daerah Seberang Perai Utara (SPU) sejak beberapa bulan lepas dan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat menyimpan motosikal yang telah dicuri.

Katanya modus operandi mereka adalah mencuri motosikal yang diparkir di kawasan pusat membeli-belah sebelum menjual semula dengan harga murah atau meleraikan komponen dan menjualnya.

Dua lelaki yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu turut positif dadah dan mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis menahan 25 penagih dadah berusia 20 hingga 39 tahun termasuk seorang wanita Indonesia dalam beberapa serbuan di sekitar daerah SPT sejak Khamis hingga semalam.

"Wanita Indonesia berumur 29 tahun itu ditahan bersama lima lelaki tempatan dalam sebuah rumah di Taman Pelangi, Bukit Tengah di sini pada 5.30 petang Jumaat. Mereka sedang berpesta dadah.

"Polis turut merampas beberapa jenis dadah dan peralatan untuk menghisap dadah bersama mereka dan siasatan mendapati mereka menjadikan rumah itu sebagai lokasi menghisap dadah sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Beliau berkata susulan penahanan 25 penagih itu, polis merampas heroin, syabu serta ganja bernilai lebih RM5,000 bersama mereka dan ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel