Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keselamatan tapak projek jambatan Bagan Datuk-Perak Tengah dipantau


Tarikh kemaskini: 14/10/2018





SITIAWAN, 14 Okt (Bernama) – Kerajaan Perak akan memastikan keselamatan di kawasan tapak projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk dan Perak Tengah yang dibatalkan bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata pihaknya juga akan melakukan tinjauan di sekitar kawasan itu bagi memastikan tiada kesan pembinaan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat setempat.

“Kita akan menyemak dengan Jabatan Kerja Raya dan mendapatkan laporan untuk melihat tahap keselamatan selepas projek itu diberhentikan.

“Sekiranya terdapat perkara yang membahayakan, kita akan mengambil tindakan dengan meminta pihak berkenaan untuk membuat penambahbaikan termasuk menandakan kawasan tersebut,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Manjung dan Pasar Tani Kekal (PTK) Lekir  di sini, hari ini. 

Projek bernilai RM418 juta itu telah memulakan pembinaannya sejak 3 Julai tahun lepas dan pemasangan cerucuk di dalam Sungai Perak telah dilaksanakan sebelum Kementerian Kewangan memutuskan projek yang dijangka siap pada Julai 2020 berkenaan tidak diluluskan untuk diteruskan.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak FAMA bagi memperbanyakkan lagi PTK di seluruh negeri dalam usaha mengalakkan orang ramai terutama masyarakat luar bandar mengusahakan perniagaan mereka sendiri.

Katanya  setakat ini hanya dua PTK beroperasi di Perak iaitu PTK Manjung dan PTK Lekir yang menawarkan pengurangan harga barangan terpilih dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri tekad mengekalkan kemenangan pavilion negeri terbaik bagi kali keempat berturut-turut bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung bulan depan.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama FAMA Perak dan beberapa agensi lain telah melakukan persiapan bagi mencapai sasaran itu termasuk mengetengahkan elemen baharu pada MAHA 2018 yang akan berlangsung selama 11 hari mulai 22 Nov di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel