Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis diberi kepercayaan penuh pantau keselamatan di Perlis-- Raja Muda Perlis


Tarikh kemaskini: 10/10/2018




KANGAR, 10 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar tiada pihak mengaitkan Perlis dengan isu keganasan ,dan kepercayaan penuh diberikan kepada polis untuk melipatgandakan pemantauan keselamatan di negeri ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd  Nazim Mohd Noor, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs, mengeluarkan titah itu selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan Mufti Kerajaan Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis Dr Hazman Hassan dan pengurusan institusi pengajian agama yang dikaitkan dengan pengganas yang beroperasi di Bukit Jernih, dekat sini manakala Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohamad dijemput untuk memberi pandangan serta nasihat keselamatan.

Polis Unit Anti Pengganas Bukit Aman baru-baru ini memberkas lapan orang, enam daripada mereka adalah pelajar institusi itu. 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohd Nazim berkata Tuanku Syed Faizuddin turut menyerahkan salinan fatwa berkaitan ‘Takrif Jihad Fi Sabilillah’ kepada Noor Mushar bagi mengelak aktiviti keganasan atas nama agama.

Menurut kenyataan itu lagi seramai 119 orang warga asing dari 19 buah negara belajar di institusi itu dan menyifatkan penangkapan enam orang daripada mereka sebagai kes terpencil.

Mohd Nazim berkata pertemuan itu mencapai tujuh keputusan, antaranya:

  • Operasi pengajian institusi itu dihentikan serta-merta sehingga satu tarikh yang akan diumumkan oleh Ketua Polis Perlis.

  • Dalam tempoh penutupan, polis akan membuat semakan terperinci dan tapisan keselamatan terhadap setiap individu di institusi berkenaan.

  • Pengurusan Agama di Perlis menuntut pengurusan institusi berkenaan melaksanakan pengajian dengan pendekatan sederhana dan mengambil kira latar belakang setempat.

  • Semua institusi yang melibatkan warga asing khususnya pendidikan dan sektor pekerjaan hendaklah proaktif dan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta membuat tapisan keselamatan.

  • Masyarakat di Perlis hendaklah peka  dan melaporkan kepada pihak berkuasa aktiviti anasir yang bercanggah dengan undang-undang.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel