Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tumpas geng samun, warga emas antara tiga ditahan


Tarikh kemaskini: 10/10/2018





GEORGE TOWN, 10 Okt (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan geng ‘Alza Biru’ yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun bersenjata di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan tiga lelaki termasuk seorang warga emas dalam serbuan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 41 hingga 63 tahun itu pada 4 pagi ini dan merampas pelbagai barang hasil kegiatan jenayah mereka.

"Polis melancarkan Op Alza selepas terdapat beberapa kes pecah rumah membabitkan geng itu di Pulau Pinang termasuk terbaru rumah keluarga seorang pembaca berita televisyen swasta di Kubang Semang sehingga menyebabkan keluarga wanita berkenaan kerugian lebih RM20,000.

"Kami berjaya menahan mereka termasuk ketua geng itu dan antara barang yang dirampas ialah telefon bimbit, jam tangan berjenama, barangan kemas, komputer riba, tablet dan wang tunai serta pisau dan parang," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, polis turut merampas tiga kereta, antaranya Perodua Alza yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit untuk kegiatan pecah rumah dan samun bersenjata di sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah serta Perak.

Zainol berkata geng itu aktif semula sejak dua bulan lepas selepas ketuanya yang berusia 57 tahun dibebaskan daripada penjara dan polis juga sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan terbabit yang berumur 50-an. 

"Geng itu memang aktif sebelum ini namun berhenti menjalankan kegiatan jenayah bila ketua mereka ditahan dan dipenjara… berdasarkan siasatan mereka telah terlibat lebih 15 kes pecah rumah serta samun bersenjata di tiga negeri berkenaan sejak dua bulan lepas," katanya.

Beliau berkata tiga lelaki yang masing-masing bekerja sendiri itu mempunyai pelbagai rekod lampau terutama ketua mereka yang mempunyai 34 rekod berkaitan jenayah serta dadah dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret George Town esok untuk permohonan perintah reman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel