Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kes keracunan makanan dilaporkan di Pulau Pinang - Dr Afif Bahardin


Tarikh kemaskini: 10/10/2018




GEORGE TOWN, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan  Pulau Pinang meminta rakyat di negeri ini tidak panik dengan kes keracunan makanan yang membabitkan dua kematian di Perak selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata setakat ini tiada kes keracunan makanan dilaporkan di negeri ini.

"Bagaimanapun kerajaan negeri memandang serius kejadian yang berlaku di Perak dan Kedah itu dan berharap kes sebegini tidak berlaku di Pulau Pinang. Oleh itu amatlah penting untuk orang ramai mengamalkan sikap selektif dalam memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan ataupun minuman," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas menggunakan tandas bagi mengurangkan risiko kes keracunan makanan.

Dr Afif berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga sentiasa memantau premis makanan dari segi kebersihan dan penyediaan makanan serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Semua hospital dan klinik-klinik kesihatan di negeri ini juga telah diarahkan untuk memberi perhatian jika ada kes-kes yang sedemikian berlaku," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata walaupun tiada kes keracunan makanan dilaporkan di negeri ini, jabatan itu giat menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan bagi memastikan pengusaha makanan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 lagi  dilaporkan di Kedah.

Sehingga kini terdapat pertambahan sebanyak 42 kes baharu dengan 14 kes di Kedah, Perak (tujuh) dan Selangor (21) dilaporkan dengan gejala yang sama.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel