Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AKSEM Perlis tahan 11 pati Myanmar di Chuping


Tarikh kemaskini: 10/10/2018





PADANG BESAR, 10 Okt (Bernama) – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis memberkas 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berhampiran kilang gula Chuping tengah malam tadi.

Komander AKSEM Perlis DSP Syed Basri Syed Ali berkata, mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berumur antara 21 dan 38 tahun itu, dipercayai menyeludup masuk ke negara ini dengan memecah pagar sempadan Malaysia-Thailand di Dannok, sebuah pekan kecil di Thailand yang terletak berhampiran Bukit Kayu Hitam, Kedah. 

“Mereka dipercayai ‘berehat’ di Dannok selama dua hari sebelum menceroboh masuk dengan berjalan kaki hampir 15 kilometer apabila ditahan pasukan AKSEM Chuping yang sedang meronda kira-kira 12.11 tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita di Kompleks AKSEM Chuping di sini, hari ini.

Syed Basri berkata semua PATI tersebut yang berasal dari Selatan Myanmar dipercayai membayar sebanyak RM5,000 seorang kepada tekong (ejen) warga Thai untuk membawa mereka ke sempadan Malaysia-Thailand.

“Mereka dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai buruh binaan, namun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Katanya PATI tersebut ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali selain boleh disebat dengan rotan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan. 

Sebelum itu pada 3 Okt lepas, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan operasi bersama AKSEM menahan 11 orang PATI rakyat Myanmar di kawasan sama.

Katanya PATI tersebut dipercayai masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

“AKSEM akan mengetatkan kawalan di kawasan sempadan berikutan pencerobohan oleh PATI semakin aktif akhir-akhir ini,” kata Syed Basri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank

 
     

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel