-njmdhF7vzM Kerajaan Kedah akan salur bantuan kepada mangsa banjir - Mukhriz
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Kedah akan salur bantuan kepada mangsa banjir - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 10/10/2018





ALOR SETAR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kedah akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di setiap daerah di negeri ini yang melanda sejak beberapa hari lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bantuan berbentuk sumbangan wang itu akan disalurkan  dalam masa terdekat. 

"Hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan empangan air bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) penuh dan air tersebut terpaksa dilepaskan dan ia memberi kesan kepada penduduk terutamanya di kawasan kampung.

"Kerajaan negeri akan salurkan bantuan dan ada juga agensi lain yang telah turun membantu menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan keperluan harian kepada mangsa yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah yang menempatkan 204 mangsa daripada 66 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.

Mukhriz berkata semua agensi yang terlibat berada dalam siap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan sekiranya keadaan banjir menjadi lebih  buruk di negeri itu.

"Pusat informasi yang beroperasi 24 jam telah dibuka bagi menerima semua laporan berkaitan banjir tetapi kadang-kadang ada juga maklumat yang tidak sampai kepada kita. Jadi penduduk yang terjejas banjir boleh laporkan kepada ahli majlis daerah atau penghulu kampung untuk disampaikan kepada kita," katanya.

Sementara itu mangsa banjir, Mahani Mahadi, 31, dari Kampung Alor Senjaya yang sedang berpantang berkata dia bersama suami dan lima anak berumur 16 hari hingga sembilan tahun datang ke pusat pemindahan pada  9 malam tadi.

"Air naik sampai paras betis jadi kami ambil keputusan ke pusat pemindahan kerana bimbang keselamatan anak-anak, tambahan saya tengah berpantang dengan anak kelima Saiful Aryan Danish Saiful Danial baru berusia 16 hari.

"Harap hari ini air surut dan kami boleh pulang ke rumah kerana keadaan di sini tidak berapa selesa tambah apabila hendak mandikan anak yang masih kecil," katanya.

Sebanyak 10 PPS dibuka di daerah Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu yang menempatkan  480 mangsa setakat 12 tengah hari ini. Banjir kilat itu disebabkan hujan lebat yang melanda sejak Isnin.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel