Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Seberang Perai bakal muncul sebagai hab ekopelancongan


Tarikh kemaskini: 08/10/2018




BUTTERWORTH, 8 Okt  (Bernama) -- Seberang Perai bakal muncul sebagai hab ekopelancongan utama bagi Pulau Pinang yang akan menarik kunjungan pencinta alam semula jadi dari seluruh dunia menjelang 2022.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Rozali Mohamud berkata ekopelancongan boleh menjadi satu daripada penggerak utama industri pelancongan Pulau Pinang dan Seberang Perai mempunyai potensi paling besar untuk menjadi tapak ekopelancongan di rantau ini.

Beliau berkata Seberang Perai boleh dijadikan sebagai hab ekopelancongan utama bagi Pulau Pinang jika bahagian tanah besar itu dipromosikan sebagai tapak ekopelancongan di negeri ini.

“Antara lokasi utama yang berpotensi bagi ekopelancongan di tanah besar Pulau Pinang termasuk  dataran lumpur dan paya bakau di Kuala Bekah di Penaga, dan pantai Teluk Air Tawar serta Kuala Muda, di samping paya air tawar di Hutan Rekreasi Air Hitam Dalam, Sungai Dua dengan keluasan kira-kira 11 hektar,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Seberang Perai mengenai Usaha Konservasi dan Ekopelancongan (SPICEC) 2018 di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa selepas sesi SPICEC diadakan pada 2016, industri pelancongan Pulau Pinang semakin rancak bagi bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai, dengan kebanyakan pelancong merupakan pengembara beg galas.

Rozali berkata Teluk Air Tawar-Kuala Muda juga adalah kawasan kegemaran pemerhati burung dari seluruh dunia, terutamanya Korea dan Jepun, oleh sebab kawasan itu menjadi kediaman beberapa spesies burung air yang jarang ditemui.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata anggota Exco negeri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pelancongan telah dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan induk pelancongan negeri bagi agensi pelancongan dalam usaha menawarkan pakej baharu pelancongan Pulau Pinang  meliputi  bahagian pulau dan Seberang Perai, sebagai tarikan kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

Chow berkata pakej pelancongan Pulau Pinang yang baharu perlu memberi keutamaan untuk mempromosi tapak warisan George Town, pantai dan Taman Negara di utara pulau, selain tapak ekopelancongan yang baru dimasukkan di Seberang Perai.

“Dengan pakej baharu ini, yang memasukkan aset semula jadi di Seberang Perai, Pulau Pinang mungkin boleh menawarkan empat, malah enam hari kunjungan ke destinasi, dan bukannya hanya lawatan sehari bagi pelancong untuk datang dan terus segera pulang,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     

Pandelela fokus terjunan baharu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel