Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangan percaya khabar angin kerajaan PH batal semua projek kerajaan terdahulu


Tarikh kemaskini: 08/10/2018





ALOR SETAR, 8 Okt (Bernama) -- Rakyat diminta agar tidak percaya  khabar angin kononnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membatalkan semua projek-projek pembangunan yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, khabar angin sedemikian sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran kerajaan sekarang yang lebih telus serta untuk menakut-nakutkan rakyat

“Ada orang kata kerajaan baharu ini banyak menangguhkan projek, tak nak buat projek sampai projek masjid yang kecil-kecil, itu semua khabar angin berkemungkinan berpunca daripada orang-orang yang tak berpuas hati dengan kerajaan.

Sebenarnya itu hanya tohmahan kerana kerajaan sebenarnya cakna kepada keperluan rakyat dan projek-projek yang menjadi keutamaan mesti kita buat, cuma projek-projek mega memang kita stop (henti) dulu dan kita kaji semula,” katanya selepas melawat projek Jalan Baharu Lencongan Timur dari Persimpangan Pekan Simpang Kuala ke Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Katanya, biarpun kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan, namun ia tetap komited untuk tidak mempersia-siakan harapan rakyat dan projek yang dianggap ‘kritikal’ dan perlu disegerakan akan dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata  kerajaan juga  tidak lagi mengamalkan pemberian tender secara terus sebaliknya diberikan secara tender terbuka agar lebih ramai kontraktor yang berkelayakan dapat menyumbang sama dalam sesuatu projek pembangunan.

Sempena lawatannya itu, Mohd Anuar berpuas hati dengan projek berkenaan kerana ia mampu mengurangkan kesesakan terutama di bandar raya Alor Setar ketika ini.

Ia melibatkan fasa satu yang membabitkan projek menaik taraf jalan sedia ada sepanjang dua kilometer berkonsepkan jalan berkembar empat lorong di Jalan Alor Mengkudu dengan kos RM42.16 juta yang berjaya disiapkan pada 15 Mei 2014.

Fasa 2A, membabitkan pembinaan jalan baharu sepanjang 3.8 kilometer berkonsepkan jalan tunggal dua lorong dari Jalan Alor Mengkudu ke Jalan Datuk Kumbar dengan kos sebanyak RM176.46 juta dan kerja-kerja telah pun disiapkan pada 31 Julai lalu.

Manakala Fasa 2B pula meliputi projek membina sepanjang 2.2 kilometer jalan tunggal dua lorong dari Jalan Datuk Kumbar ke Jalan Tun Razak/Jalan Langgar yang kini masih berjalan serta dijangka siap pada 11 Mac 2021 yang menelan kos sebanyak RM97.71 juta.

“Apabila siap projek ini ia menyumbang kepada pertumbuhan pembangunan di kawasan sekitar dan menyuraikan aliran trafik dan menjadi jalan alternatif  bagi pengguna di sebelah selatan Alor Setar untuk ke utara dan timur Alor Setar,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel