Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Pinang anjur Forum Perkahwinan Bawah Umur 20 Okt ini


Tarikh kemaskini: 05/10/2018




BUKIT MERTAJAM, 5 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Wanita Pulau Pinang akan menganjurkan 'Wacana: Forum Perkahwinan Bawah Umur, Apa Kata Profesional' pada 20 Okt ini bagi meningkatkan kesedaran berhubung perkahwinan terutama melibatkan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng berkata wacana yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Kesedaran Hak Wanita itu dirancang berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai, Bandar Perda di sini.

Beliau berkata isu perkahwinan bawah umur melibatkan kanak-kanak perlu dibincangkan secara mendalam, berikutan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga pada Ogos lepas amat mengejutkan.

"Masalah perkahwinan bawah umur ini adalah isu nasional, bukan khusus kepada masyarakat Islam sahaja. Seramai 1,845 orang kanak-kanak bawah umur  berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah ini, 968 orang adalah kanak-kanak bukan muslim manakala 877 orang kanak-kanak muslim. 

"Jika dimasukkan statistik perkahwinan melibatkan kedua-duanya adalah pasangan bawah umur, bilangan muslim ialah 5,362 dan bukan muslim ialah 2,367 orang," katanya pada satu persidangan media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara panel yang terlibat dalam forum itu ialah Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim, Pengerusi Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Syed Azmi Alhabshi, Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Dr Zasmani Shafiee dan Peguam Syariah Ahmad Munawir Abdul Aziz.

"Bayaran tiket masuk adalah RM5 dan tempat adalah terhad. Orang ramai yang berminat menghadiri forum boleh menghubungi Pusat Khidmat Padang Lalang di talian 04-5303028 atau menghubungi Wani (013-4739481), Pin Ping (012-4821778) dan Ong Siew Lee (014-4424547)," katanya.

Sementara itu, Chong Eng berkata Kerajaan Negeri masih menunggu jawapan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berhubung keputusan untuk menaikkan had minimum umur perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Beliau berkata kebanyakan kes perkahwinan bawah umur berlaku apabila kanak-kanak itu datang daripada institusi kekeluargaan yang bermasalah.

"Banyak kes (perkahwinan bawah umur) daripada 'broken home' yang kekurangan kasih sayang dan perhatian. Jadi, apabila seseorang datang memberikan perhatian, senang untuk mereka terpengaruh dan jatuh cinta tanpa mengetahui realiti kehidupan sebenar," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa menjadi pelindung dan bertanggungjawab terhadap anak supaya masalah sosial dan perkahwinan bawah umur tidak meningkat. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel