Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PAC Perak sedang dapatkan sebut harga untuk jalankan audit forensik


Tarikh kemaskini: 05/10/2018




IPOH, 5 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Perak sedang mendapatkan sebut harga daripada tiga firma perakaunan terbaik dunia untuk menjalankan audit forensik serta siasatan terhadap pengurusan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Pengerusinya Leong Cheok Keng berkata pihaknya yang dianggotai enam ahli itu akan meneliti kesemua sebut harga daripada tiga firma berkenaan pada mesyuarat kedua yang dijangka diadakan pada 15 Nov depan.

"Kami sedang meminta mereka untuk memberi  untuk membuat audit forensik terhadap dua organisasi itu. Kami akan lihat dari segi tempoh masa untuk mereka siapkan, skop yang akan dicadangkan, meneliti kesemua sebut harga dan akan membuat keputusan sama ada menjalankannya dengan bajet yang ada.

"Jika kita dapat lantik segera satu daripada daripada firma perakaunan ini, kami akan meminta mereka untuk terus menjalankan audit forensik dan sekiranya audit itu mendapati ada unsur kecuaian, kecuaian yang melampau atau fraud, jadi kita akan panggil wakil MAPS dan MB Inc untuk menghadapi pendengaran awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang dianggotai Leong sendiri, timbalan pengerusi jawatankuasa Chong Zhemin yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji dari DAP; ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim (BN); ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN); ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor (Amanah); ADUN Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS).

Leong yang merupakan ADUN Malim Nawar berkata setiap organisasi yang disiasat pihak PAC Perak akan menghadapi pendengaran awam terutama membabitkan isu-isu yang besar seperti MAPS dan MB Inc.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan meminta 13 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri menyediakan laporan berhubung papan tanda di premis-premis yang tidak memohon lesen untuk hadir ke mesyuarat kedua pada November depan.

"Begitu juga pihak Lembaga Air Perak diminta hadir untuk menjelaskan mengenai kenaikan air tidak berhasil (NRW) yang agak tinggi. Mereka juga diminta untuk menyediakan laporan selain mencari langkah untuk mengatasi masalah NRW ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel