Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KDN digesa percepat proses kelulusan permohonan kewarganegaraan


Tarikh kemaskini: 24/09/2018





KUCHING, 25 Sept (Bernama) – Bilangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dari negeri Sarawak meningkat setiap tahun, namun peratusan kelulusannya masih rendah iaitu bawah 50 peratus.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepatkan proses kelulusannya.

Menurut Fatimah, sebanyak 535 permohonan diterima sejak tahun 2016 hingga tahun ini, tetapi daripada 240 permohonan yang dikemukakan kepada KDN dari tahun 2016 hingga 2017 hanya 95 permohonan  diluluskan.

Sebanyak 67 permohonan diterima pada tahun 2016, meningkat kepada 173 pada tahun 2017 dan 295 permohonan pada tahun ini.

Permohonan Kewarganegaraan di bawah Perkara15A Perlembagaan Persekutuan adalah perolehan warganegara Malaysia secara daftaran bagi individu yang berumur bawah 21 tahun dalam keadaan khas.

Penganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan kepada individu yang bertaraf bukan warganegara Malaysia.

Kementerian amat mengambil berat terhadap masa hadapan kanak-kanak di negeri ini yang tidak diketahui status kewarganegaraan mereka, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatan Kuasa Khas (JKK) Status Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Malaysia di pejabat beliau di sini hari ini.

Jawatankuasa berkenaan adalah platform yang menerima dan menyemak permohonan kewarganegaraan yang diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak sebelum dimajukan kepada KDN.

Menurut Fatimah, kanak-kanak yang mendapat kewarganegaraan Malaysia secara langsung dapat menikmati kemudahan serta subsidi yang diberi oleh kerajaan Malaysia seperti kemudahan pendidikan, perubatan dan pengenalan diri.

Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan bahawa ia bukan tanggungjawab jawatankuasa yang beliau pengerusikan untuk meluluskan atau menolak permohonan yang dikemukakan, dan menambah bahawa ia adalah keputusan  Menteri Dalam Negeri, yang kini dimangku oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel