Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 4,000 premis, syarikat perniagaan di zon Sabah sudah daftar SST


Tarikh kemaskini: 24/09/2018





KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) -- Sebanyak 4,091 premis dan syarikat perniagaan di Zon Sabah mendaftar untuk sistem percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 13 Sept lepas, kata Penolong Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Venitha Lojuti.

Daripada jumlah itu, 2,840 premis dan syarikat perniagaan berdaftar untuk Cukai Perkhidmatan manakala selebihnya 1,251 lagi untuk Cukai Jualan.

Beliau berkata, daripada jumlah premis perniagaan dan syarikat yang mendaftar dengan SST berkenaan, sebanyak 2,636 premis perniagaan dan syarikat adalah di Kota Kinabalu, diikuti Sandakan (502), Tawau (438), Lahad Datu (238), Keningau (138) dan Wilayah Persekutuan Labuan (139).

"Kami belum laksanakan penguatkuasaan… pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada pendaftaran dan permohonan pengecualian (SST). (Penguatkuasaan) pematuhan itu (akan dilakukan) selepas bulan September," katanya semasa memberi ceramah sempena majlis Taklimat Khas SST, anjuran Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Program berkenaan dihadiri kakitangan agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Sabah yang bertujuan memberi kefahaman lebih baik kepada kakitangan KKMM berhubung SST.

Selain Venitha, turut memberi ceramah pada program berkenaan ialah Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari Putrajaya Mohd Isam Abdullah.

Venitha juga berkata setakat ini, sebanyak 846 premis berdaftar untuk Cukai Jualan dan 639 premis berdaftar untuk Cukai Perkhidmatan telah dilawati agensi itu melalui Operasi Bimbing.

Katanya operasi berkenaan bertujuan antara lain bagi memberi kefahaman lebih baik kepada pihak peniaga berhubung sistem percukaian SST.

Sementara itu, Mohd Isam berkata KPDNHEP di seluruh negara telah memeriksa sebanyak 11,500 buah premis perniagaan melibatkan 292,787 barangan di seluruh negara sehingga 19 Sept lepas, sejak SST dikuatkuasakan pada 1 Sept.

Katanya dalam tempoh berkenaan juga, sebanyak 434 kes aduan diterima dan daripada itu, 337 telah selesai disiasat manakala selebihnya 97 aduan lagi dalam proses siasatan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel