Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sukma: Badang Kenyalang gah di hari penutup


Tarikh kemaskini: 21/09/2018




TAPAH -- Kecederaan tapak tangan kanan ketika sesi pemanas badan sebelum pertandingan tidak menghalang badang Sarawak Jerry Gawan memperbaharui rekod Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 bagi acara 'snatch' untuk kategori berat badan melebihi 105kg lelaki.

Jerry, 18, berasal dari Miri mencatatkan rekod baru 143kg pada angkatan kedua, di hari terakhir acara tersebut di Dewan Merdeka Majlis Daerah Tapah di sini.

Angkatan itu sudah mencukupi untuk beliau mengatasi rekod 142kg yang baru dicipta pencabarnya atlet Kelantan Mohamad Alif Haiman Othman, yang sekaligus meraih pingat perak.

Sebelum ini rekod dipegang atlet Johor, Md Saufik Ahmad pada Sukma 2008 Terengganu (140kg).

Jerry yang mengangkat 167kg bagi acara ‘clean and jerk’ membawa pulang emas keduanya selepas Mohamad Alif sekadar melakukan angkatan 170kg meraih perak.

Atlet Wilayah Persekutuan Ndri Saparuddin pula memenangi dua pingat gangsa dengan angkatan 146kg (‘clean and jerk) dan 139kg (‘snatch’).

Jerry berkata kejayaan hari ini hasil usahanya bersungguh-sungguh selama ini dan tidak mahu kecederaan melecet di tapak tangan menjadi penghalang.

“Saya kuatkan semangat biarpun tapak tangan sakit masa hendak mengangkat beban. Ia sememangnya perit tapi berbaloi apabila dapat dua emas termasuk dapat pecah rekod sukma,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata apa yang diperolehi ini amat bermakna bagi dirinya setelah sekadar meraih gangsa dalam acara yang sama pada Sukma 2016 di Sarawak dan kejayaan ini ditujukan buat ibunya Mariam Enjok yang akan menyambut hari jadi yang ke-43 pada bulan ini.

Sementara itu Sukma kali ini menyaksikan empat rekod kebangsaan dan 25 rekod Sukma dicipta dalam acara angkat berat yang melabuhkan tirainya hari ini dengan keempat-empat rekod itu dilakukan badang wanita.

Rekod tersebut dicipta atlet Wilayah Persekutuan Jabriella Teo Samuel bagi kategori ‘snatch’ bawah 75 kilogram (kg) dan atlet Selangor Nur Afiqah Nadhrah Mohammed Borhan (‘snatch’ bawah 90kg), manakala dua lagi rekod dicatatkan atlet Johor Sonia Cassendra Masne menerusi (‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ melebihi 90kg) yang buat kali pertama dipertandingkan di Sukma.

Wilayah Persekutuan mengungguli acara angkat berat ini dengan mengondol sembilan pingat emas, diikuti Selangor (lima emas), Terenggganu, Kedah, Sabah, Pahang (masing-masing tiga emas), Sarawak dan Johor (dua emas), manakala Perak dan Kelantan (satu emas) daripada keseluruhan 32 pingat emas dipertandingkan dalam lapan hari acara berkenaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel