Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MITI gesa tingkatkan usaha bangunkan industri di Sarawak, Sabah


Tarikh kemaskini: 21/09/2018





 KUCHING, 21 Sept (Bernama) -- Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg, menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui pelbagai agensinya, memberikan lebih perhatian dalam membangunkan industri di Sarawak dan Sabah.

“Kami (dua negeri berkenaan) berasa bahawa kami tertinggal di belakang untuk masa yang panjang dalam pembangunan perdagangan dan perindustrian berbanding negeri lain, walaupun yakin kami akan bergerak ke hadapan lebih cepat,” katanya pada sidang media bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, di sini, hari ini. 

Darell yang segera menyokong Abdul Karim, berkata Sabah dan Sarawak tertinggal dalam banyak aspek, bagaimanapun menambah bahawa, perkara ini akan berubah di bawah kerajaan baharu.

Abdul Karim juga mengatakan bahawa, dua negeri di Kepulauan Borneo itu mempunyai banyak potensi, terutama di pos perdagangan Tebedu-Entikong (di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat).

Pada sidang akhbar sama, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Dayak, Datuk Joseph Salang, berkata dalam kes Sarawak, banyak yang perlu dilihat Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), termasuk dari segi hiliran sektor pertanian dan pemprosesan makanan.

Darell, ketika berucap merasmikan Seminar Automasi dan Industri 4.0 serta Program Turun Padang, di sini, berkata, Malaysia, yang agak suram pada tahap Industri 3.0 dari segi penggunaan teknologi oleh syarikat perusahan kecil dan sederhana (PKS), harus bertindak pantas untuk menangani perubahan yang pantas ini.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif bagi membantu industri tempatan untuk bersedia dengan lebih baik bagi pasaran global yang lebih kompetitif dengan kemunculan Industri 4.0 melalui peruntukan RM1.4 bilion di bawah Bajet 2018.

Beliau menggesa PKS menjadi lebih proaktif dalam meningkatkan produktiviti mereka melalui penggunaan automasi, bersedia untuk era revolusi industri keempat dan meneroka pasaran eksport. 

Pada seminar berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani, berkata institusi pembangunan kewangan itu sudah membantu lebih 10,800 syarikat, menyediakan pembiayaan yang diluluskan melebihi RM14.5 bilion.

“Kami membantu syarikat membangun di pasaran domestik serta antarabangsa dan beberapa syarikat ini berkembang menjadi syarikat yang disenaraikan,” katanya dan menambah bahawa, di Sarawak, MIDF sudah membantu 809 syarikat setakat ini dengan dana yang diluluskan berjumlah RM885.9 juta.

Charon berkata, MIDF pada masa ini menguruskan sejumlah RM2.5 bilion dalam bentuk skim pinjaman kerajaan dan daripada jumlah itu, ia menyediakan pembiayaan yang diluluskan berjumlah RM5.5 bilion kepada 4,136 syarikat.

“Ini bukan satu kesilapan. Syarikat yang meminjam daripada kami berjaya dan membayar semula pinjaman mereka, justeru kami dapat meminjamkan semula wang berkenaan. Ini adalah caranya kami menukar dana 2.5 bilion menjadi pinjaman 5.5 bilion,” jelasnya. 

Tambahnya, MIDF menyasarkan untuk menyediakan tambahan RM800 juta dalam pembiayaan yang diluluskan untuk PKS di seluruh Malaysia tahun ini – RM500 juta untuk pengilang yang melaksanakan automasi, RM200 juta untuk syarikat dalam sektor perkhidmatan dan RM100 juta untuk pelbagai PKS bagi pengembangan perniagaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     

Pandelela fokus terjunan baharu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel