Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesilat Sabah buat kejutan di Sukma Perak


Tarikh kemaskini: 21/09/2018




IPOH, 21 Sept (Bernama) -- Biarpun tidak bergelar juara keseluruhan, pujian perlu diberikan kepada pesilat-pesilat Sabah apabila membuat kejutan dengan megutip lima pingat emas dan berada di kedudukan kedua keseluruhan bagi acara itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak kali ini.

Lebih membanggakan, empat pingat emas pencak silat disumbangkan oleh pesilat-pesilat wanita negeri itu yang mempamerkan aksi cemerlang mereka di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar di sini.

Ketua jurulatih Pencak Silat Sabah, Emy Latip berkata pencapaian anak buahnya pada Sukma edisi kali ini adalah paling cemerlang berbanding penyertaan pada edisi-edisi lepas.

“Saya tidak menyangka pesilat kami sangat cemerlang di sini. Sasaran saya hanya tiga pingat emas, tetapi mereka menyumbangkan lima emas untuk Sabah. Saya melatih mereka lebih lima tahun, pelbagai program kami lakukan untuk mereka terutamanya dalam menyertai lebih banyak kejohanan sebagai pendedahan.

“Kita mengambil pengajaran daripada pengalaman Sukma yang lalu untuk bangkit. Kami mencari kelebihan dan kelemahan kontinjen-kontinjen lain terutamanya di Semenanjung. Ternyata usaha kami (jurulatih) tidak sia-sia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pasukan Sabah itu turut meraih dua pingat perak dan tiga gangsa.

Pahang mendominasi pungutan pingat dengan enam pingat emas, sebutir perak dan tujuh pingat gangsa.

Emy turut memuji anak didiknya yang sentiasa memberikan komitmen terbaik kepada sukan pencak silat negeri itu dan bersemangat untuk menjadi pesilat terkemuka satu hari nanti.

“Selalunya pasukan dari Borneo hanya mendapat pingat dua pingat emas sahaja di SUKMA. Kali ini memang berbeza, saya ucapkan terima kasih kepada semua pesilat Sabah,” katanya.

Sabah memenangi pingat emas dalam acara Putri kelas B 50-55kg, Putri kelas C 60kg-65kg, Putri Kelas D 70-75kg , Putri perseorangan dan Putra Kelas H 80-85kg.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel