Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia komited kekalkan lebih 50 peratus kawasan hutan asli


Tarikh kemaskini: 20/09/2018





KOTA KINABALU, 20 Sept  (Bernama) -- Malaysia komited dalam usahanya untuk mengekalkan kawasan hutan aslinya yang merangkumi lebih 50 peratus keseluruhan kawasan daratannya seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi PBB Rio 1992, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata semua kawasan kelapa sawit di negara ini diusahakan di kawasan tanah yang dikhususkan sebagai bank tanah untuk pertanian di bawah kerajaan negeri atau tanah diberi hak milik dan bukannya ditanam di kawasan rizab hutan kekal.

“Oleh itu tiada penebangan hutan dilakukan atau dibenarkan di kawasan rizab hutan kekal,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Minyak Sawit  Mampan Antarabangsa (IPOSC) 2018 di sini, hari ini.

Kok berkata jabatan perhutanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menggunakan imej satelit dan pemetaan digital untuk memantau dan menguruskan kawasan hutan mereka.

Beliau berkata semua agensi perhutanan juga memiliki Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan turut menggunakan teknologi canggih seperti alat pengesan ‘Light Detection and Ranging” serta sistem ‘Hyperspectral’ untuk memudahkan mereka menjalankan tugas.

"Agensi-agensi perhutanan di Malaysia saling  bekerjasama rapat dan berkongsi dalam penyelarasan pengurusan hutan dan kepakaran teknikal di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam pemetaan satelit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kok berkata beliau akan mengetuai misi ke beberapa ibu negara di Eropah seperti Brussels dan Madrid  serta Switzerland pada akhir bulan ini untuk mengadakan dialog dua hala dan meningkatkan lagi kerjasama dengan industri Eropah untuk menyokong minyak sawit dan menangani tanggapan negatif terhadap komoditi itu.

"Misi kami akan menunjukkan iltizam Malaysia mengadakan perbincangan dengan pihak Eropah di peringkat rasmi dan industri dan ia juga akan menjadi landasan untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan Parlimen Eropah yang akan bersidang pada akhir musim luruh dan membincangkan pelbagai isu berkaitan minyak sawit," katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga akan meneruskan usaha promosi bagi pengiktirafan persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA                   

 

 

   

 
 
     
   
 

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     

Pandelela fokus terjunan baharu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel