Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Pertanian bincang dengan Menteri Pendidikan cadangan bekal susu segar Keningau ke sekolah - Salahuddin


Tarikh kemaskini: 18/09/2018





KENINGAU, 18 Sept (Bernama) – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai cadangan menjadikan susu segar bermutu tinggi ‘Eco – Yap Fresh Milk’, yang dikeluarkan di ladang Keningau, di sini untuk dibekalkan ke sekolah-sekolah di negara ini.

Katanya, perbincangan dengan kementerian berkenaan perlu sebelum cadangan itu dibawa ke kabinet memandangkan ia melibatkan peruntukan besar.

Cadangan membekalkan susu segar ke sekolah-sekolah itu boleh dijadikan dasar yang bertujuan meningkatkan kecergasan pelajar dan seumpamanya, katanya kepada Bernama selepas melawat Ladang Tenusu Yun Fook Resources Sdn Bhd di sini.

Produk tenusu yang dihasilkan di ladang itu turut menerima pujian Konsul Jeneral China di Sabah Liang Caide baru-baru ini yang menyifatkannya sebagai sangat berkualiti dan diterima di pasaran global seperti di China.

Ladang tenusu Yun Fook Resources Sendirian Berhad bermula hanya dengan dua ekor lembu pada 1982, tetapi kini memiliki kira-kira 5,000 ekor dan mampu mengeluarkan empat juta liter susu sebulan, sekali gus  meletakkan syarikat itu diiktiraf sebagai antara peneraju lembu tenusu di peringkat Asia dan global.

Salahuddin berkata, pemilik syarikat itu Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook bukan sahaja sangat berjaya dalam bidang perladangan, tetapi juga sumbangan sosialnya sangat besar kepada masyarakat setempat khususnya dalam bidang pendidikan.

Salahuddin turut berkata, beliau tidak ada halangan untuk mencadangkan kepada kerajaan bagi menempatkan Datuk Yap Yun Fook  sebagai penasihat pertanian di mana-mana institusi yang diperlukan di negara ini.

“Hari ini saya jumpa beliau (Datuk Yap) yang saya lihat lebih daripada 13 sektor yang dia masuk, semua berjaya...semua aktiviti yang beliau telah lakukan begitu berjaya, dan semua ini tidak menghalang untuk kita mendapatkan nasihat daripada beliau,” katanya.

Selain ladang tenusu dan pedaging, syarikat itu turut terlibat dan berjaya dalam perladangan berpuluh haktar durian Musang King, nenas madu, sarang burung  walet, sawah padi, kelapa sawit serta buah-buahan bermutu tinggi.

Syarikat itu juga yang pertama seumpamanya di negara ini membangunkan 40 petak kolam yang menempatkan berjuta ikan air tawar secara bersistem  di Kampung Agudon, Keningau Sabah.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel