Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

30,000 rakyat pelbagai kaum meriahkan Sambutan Hari Malaysia 2018


Tarikh kemaskini: 16/09/2018





KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, dekat sini, malam ini berlangsung penuh meriah serta semangat patriotik dengan kehadiran kira-kira 30,000 rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk bersama-sama memeriahkan acara bersejarah itu.

Sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia ke-55 tahun ini juga cukup signifikan kerana berlangsung di lokasi yang mencatat sejarah pengisytiharan Malaysia pada 16 Sept 1963 selain buat pertama kalinya diraikan di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang baharu.

Pengunjung mula membanjiri dataran Padang Merdeka seawal jam 5 petang dengan penuh semangat mempamerkan rasa cinta kepada negara, dan mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian sementara menanti ketibaan tetamu jemputan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di lokasi sambutan kira-kira 8 malam.

Acara sambutan dimulakan pada jam 8.11 malam sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti lagu negeri Sabah Tanahairku serta persembahan selamat datang berkonsepkan kepelbagaian etnik Malaysia melibatkan lebih 1,200 peserta.

Upacara sambutan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Mohd Shafie sebelum Dr Mahathir dijemput untuk menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan acara sambutan penuh bersejarah itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri; serta ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri juga menghadiri sambutan itu.

Acara tersebut turut menarik perhatian pengunjung dengan tayangan video dokumentari khas mengenai sejarah pembentukan Malaysia diikuti acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2018.

Sambutan Hari Malaysia ke-55 turut dimeriahkan dengan acara memotong kek oleh Juhar bersama Dr Mahathir dan Mohd Shafie.

Acara disemarakkan lagi dengan perarakan masuk 50 peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Jabatan Penerangan Sabah diketuai Pengarahnya Norzawiyah Bulka bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada perdana menteri sebelum dipasang ke tiang bendera dan dinaikkan oleh sekumpulan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kemeriahan sambutan diteruskan dengan persembahan khas bertemakan Sayangi Malaysiaku merangkumi persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian yang terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu Malaysia harmoni, warna-warni Malaysia dan Malaysia baharu.

Persembahan istimewa itu menterjemahkan kesatuan, kemuafakatan, serta keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     

Polis Kedah rampas syabu RM2.5 juta, tahan keldai dadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel