Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua pencari kelubi maut dipatuk ular belalang


Tarikh kemaskini: 16/09/2018




MUKAH, 16 Sept (Bernama) -- Gara-gara dikatakan mengganggu sarang ular dipercayai tedung hitam yang dikenali dengan nama Ular Belalang oleh masyarakat Iban, dua pencari buah asam paya atau kelubi maut dipatuk reptilia berbisa itu di hutan berhampiran Kampung Bedanga dekat sini.

Kejadian berlaku semasa mangsa Stanley Saka, 21, dan Duwat Jabu, 23, bersama rakan mereka Lawrance Jinal, 40, dan seorang budak lelaki mencari buah tersebut di kawasan berkenaan, lewat petang semalam.

Ketika dijumpai pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dibantu ahli keluarga dan penduduk kampung pada 11.16 pagi tadi, kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia manakala Lawrance dijumpai dalam keadaan lemah.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata Lawrance kemudian dikejarkan ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan.

Beliau berkata berdasarkan rakaman percakapan mangsa yang selamat itu, mereka menjumpai satu sarang ular di bawah sepohon kayu.

“Kedua-dua rakannya yang meninggal dunia dikatakan mengusik sarang tersebut sebelum mereka diserang ular itu sehingga bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Lawrance memberitahu dipatuk ular yang digambarkannya berwarna hitam beberapa kali sehingga menyebabkan beliau tidak dapat bergerak.

Jimmy berkata sebelum kejadian kesemua pencari asam paya termasuk budak lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu masuk ke hutan dan keluar lebih kurang tiga jam untuk menghantar hasil ke tepi jalan.

Tiga lelaki dewasa itu kemudian masuk semula ke hutan manakala budak lelaki itu hanya menunggu di tepi jalan tersebut.

Apabila ketiga-tiga mereka tidak keluar dari hutan sehingga 7 malam, budak lelaki tersebut pulang ke rumah dan memaklumkan kepada keluarganya dan laporan polis dibuat pagi tadi, selain gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel