Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bongkar kilang proses Eramin 5, rampas dadah RM72.5 juta


Tarikh kemaskini: 14/09/2018




BUKIT MERTAJAM, 14 Sept (Bernama) -- Polis membongkar kilang memproses eramin 5 dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM72.5 juta dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan Industri Kecil dan Sederhana Bukit Tengah di sini, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kejayaan itu yang merupakan rampasan terbesar sejak 1996, susulan penahanan tiga orang termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 46 tahun di kawasan Pengkalan Hulu, Perak pada 8 malam, Isnin.

"Ekoran penahanan mereka, polis menyerbu sebuah kilang di Bukit Tengah pada 3 pagi Rabu dan pemeriksaan mendapati premis itu dijadikan tempat memproses eramin 5 yang dilengkapi lebih 15 mesin bernilai RM500,000 untuk menghasilkan dadah berkenaan.

"Polis merampas 2.13 juta pil eramin 5, serbuk eramin 5 (742.6 kilogram), syabu (27.3 kilogram), 5,080 pil ekstasi dan 53.7 kilogram pelbagai cecair kimia untuk menghasilkan eramin 5. Semua dadah itu bernilai RM72.5 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket yang didalangi warga tempatan dan menjalin kerjasama dengan sindiket di luar negara itu sudah lama menjalankan operasi memproses dan menjual dadah.

Mohmad berkata sindiket itu menyewa premis terbabit dan menjadikannya kilang memproses eramin 5 tanpa pengetahuan sesiapa termasuk pemilik kilang, dan hanya anggota sindiket yang mempunyai akses untuk masuk ke situ.

Beliau berkata sindiket terbabit membeli mesin memproses eramin 5 tersebut dari Taiwan dan beberapa anggota sindiket termasuk tiga suspek yang ditahan itu mempunyai kepakaran menghasilkan dadah berkenaan.

"Pil eramin 5 yang diproses di kilang itu untuk pasaran dalam negara dan beberapa negara luar dan 2.13 juta biji pil dirampas itu boleh digunakan oleh lima juta orang manakala dadah serta cecair kimia itu  mampu menghasilkan 1.1 juta pil eramin 5," katanya.

Beliau berkata polis sudah mengenal pasti dalang utama sindiket berkenaan yang dipercayai raja dadah di negara ini.

Sindiket itu juga mempunyai rangkaian di luar negara terutama di Thailand serta China, katanya.

Beliau berkata operasi dan serbuan yang dijalankan JSJN Bukit Aman, Perak dan Pulau Pinang itu adalah hasil kerjasama dengan pihak berkuasa narkotik Thailand dan China.

"Rampasan itu bukan sahaja terbesar pada tahun ini tapi sepanjang penubuhan JSJN sejak 1996. Kami turut menyita dua kereta, wang tunai pelbagai mata wang, barangan kemas, jam tangan dan akaun bank, kesemuanya bernilai RM1.1 juta," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel