Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sukma: Penampilan emas terakhir buat Siti Zaleha


Tarikh kemaskini: 14/09/2018





TAPAH, 14 Sept (Bernama) — Atlet angkat berat Pahang Siti Zaleha Yusop menebus kekecewaan pada Sukan Malaysia (Sukma) edisi lepas dengan meraih satu pingat emas acara snatch bagi kategori 48kg wanita pada Sukma ke-19, di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Berasal dari Rompin, Siti Zaleha, 21, mengakui pingat emas yang dimenanginya pada penampilan terakhir pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 hari ini ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Ini merupakan penyertaan kali keempatnya dalam Sukma, anak kelapan dari sembilan beradik itu yang berkecimpung dalam sukan itu sejak berusia 13 tahun, unggul dalam acara snatch bagi kategori 48kg wanita setelah melakukan angkatan beban seberat 64kg kategori snatch, dengan melakukan hanya dua kali angkatan sahaja.

Namun untuk acara clean and jerk bagi kategori 48kg wanita, beliau gagal mengulangi pencapaian kilauan emas apabila sekadar meraih pingat gangsa dengan angkatan seberat 75kg.

“Alhamdulillah hasrat saya untuk menebus salah satu kekecewaan pada Sukma Sarawak 2016 pada kali ini tercapai.

“Sukma Perlis (2014) saya peroleh dua emas bagi kedua-dua acara itu bagi kategori 48kg namun edisi di Sarawak saya sekadar peroleh dua pingat perak bagi kedua-dua acara itu dalam kategori 53kg wanita,” katanya kepada pemberita selepas tamat acara itu.

Pingat perak pula berjaya menjadi milik atlet tuan rumah Perak, Nur Syafiqah Athirah Zaridi dengan angkatan seberat 61kg manakala pingat gangsa milik atlet Terengganu Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dengan angkatan seberat 60kg.

Bagi acara clean and jerk pula Nurul Afiqah menyapu emas bagi kategori 48kg wanita setelah mempamerkan aksi konsisten melakukan angkatan seberat 81kg.

Bagaimanapun, atlet berusia 19 tahun berasal dari Teluk Ketapang, Kuala Terengganu itu mengakui, mampu memberikan aksi yang lebih mantap dalam usaha memperbaiki catatan peribadi terbaik, 82kg kategori clean & jerk.

“Memang saya letakkan matlamat untuk meraih emas dalam acara ini. Ini pencapaian terbaik sepanjang dua penyertaan dalam temasya Sukma kerana ini adalah emas pertama saya,” katanya yang meraih pingat perak dalam acara itu pada Sukma Sarawak.

Pingat perak pula berjaya menjadi milik atlet Sabah Nilcy Tunik dengan angkatan seberat 80kg.

Esok, empat pingat emas dipertandingkan bagi sukan angkat berat acara snatch bagi kategori 53kg wanita dan 62kg lelaki dan acara clean and jerk bagi kategori 53kg wanita dan 62kg lelaki di venue yang sama.

— BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     

Sektor industri disasar sumbang 35 peratus kpd KDNK Sabah menjelang 2030

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel