Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Kubang Pasu rampas 20,000 liter petrol bernilai RM44,000


Tarikh kemaskini: 12/09/2018





KUBANG PASU, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu merampas 20,000 liter minyak petrol bernilai RM44,000 dipercayai bersubsidi di sebuah stor haram di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam hari ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kubang Pasu Mohamad Amir Abdullah berkata rampasan itu susulan serbuan dijalankan pihaknya pada 9.30 pagi ke atas premis berkenaan yang tidak mempunyai kebenaran dan lesen menjual bahan kawalan berkenaan.

Turut ditahan ketika serbuan ialah seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga stor berkenaan berusia 25 tahun, katanya kepada pemberita di premis berkenaan, hari ini. 

"Minyak petrol yang ditemui hari ini disimpan dalam dua tangki minyak iaitu masing-masing 11,000 liter di tangki pertama dan 9,000 liter di tangki kedua.

"Bekalan yang disimpan ini kita percayai diperoleh dari pemborong-pemborong sekitar Kedah dan Pulau Pinang pada harga RM2.20 seliter, dimana pemborong berkenaan juga mungkin mendapatkannya melalui stesen-stesen minyak biasa," katanya. 

Mohamad Amir berkata kebiasaannya minyak petrol tersebut dijual pada harga RM2.25 seliter kepada pembeli dari negara jiran yang akan datang menggunakan pikap yang telah diubahsuai.

"Ia kemudiannya diseludup ke negara mereka pada waktu-waktu tertentu untuk dijual pada harga yang lebih tinggi," katanya dan menambah, secara purata kira-kira 3,000 liter petrol sehari dijual kepada pelanggan-pelanggan yang datang ke stor itu.

Beliau berkata stor haram yang sudah beroperasi kira-kira dua tahun itu turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup bagi mengelak daripada kehadiran penguatkuasa selain mempunyai pagar automatik yang hanya boleh dibuka melalui alat kawalan.

Pihaknya turut percaya bahawa stor berkenaan yang terletak bersebelahan kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam telah disewa oleh dalang kepada sindiket tersebut yang masih disiasat identitinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan boleh dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel