Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Faktor jambatan kecil antara punca awal runtuhan berlaku - JPS


Tarikh kemaskini: 11/09/2018





BANDAR BAHARU, 11 Sept (Bernama) -- Saiz jambatan yang agak kecil merupakan antara punca awal dikesan menyebabkan keruntuhan jambatan di Taman Serdang yang mengorbankan dua nyawa malam tadi.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim-Bandar Baharu Mohd Idrus Amir berkata, ini kerana apabila arus air mengalir deras dan kapasiti air yang melalui jambatan tersebut meningkat, ia menyebabkan saluran air sedia ada tidak dapat menampung lebihan air yang melalui sehingga menyebabkan mendapan.

"Apabila situasi itu berlaku, ia menyebabkan air bergerak ke belakang dan menghakis sedikit demi sedikit tanah yang berada di bawah jambatan sehingga berlakunya runtuhan.

“Keadaan ini ditambah pula dengan hujan lebat sehingga aras air Sungai Serdang di bahagian hulu meningkat dan melalui kawasan ini, menyebabkan tekanan yang kuat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Idrus berpendapat sekiranya jambatan yang berusia hampir 30 tahun itu dilebarkan sedikit, keadaan tidak mungkin seteruk itu, malah ia turut akan membolehkan masalah banjir kilat di beberapa kampung berdekatan dapat dikurangkan. 

Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam tadi, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor dan Mohamad Haziq Ishak, kedua-duanya berusia 17 tahun, maut apabila tertimbus dalam kejadian runtuhan jambatan berdekatan Taman Serdang di Serdang.

Sementara itu Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau sudah mengarahkan JPS untuk turut sama membuat pemantauan di jambatan di seluruh daerah yang berpotensi runtuh bagi mengelak tragedi sama daripada berulang.

Katanya insiden yang berlaku semalam tidak dijangka kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hakisan dan runtuhan akan berlaku.

Menurutnya dari aspek keselamatan, beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu DSP Barudin Wariso agar kawasan itu dikawal rapi bagi memastikan tidak ada orang awam yang mendekati lokasi kejadian kerana dikhuatiri akan berlaku runtuhan kecil.

"Kira-kira 1,000 rumah berada di kawasan ini namun buat masa sekarang kita ada laluan alternatif yang boleh digunakan penduduk untuk ke Pekan Serdang namun jaraknya agak jauh sedikit

"Kita juga akan pastikan bahawa langkah segerakan pembinaan pembaikan semula dibuat bagi keselesaan penduduk," katanya. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Azis Jamman cedera ringan terlibat nahas jalan raya di Nabalu, Kundasang

 
     

Projek pembinaan ECRL beri keutamaan kepada rakyat tempatan - MB

 
     

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel