Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empangan Mengkuang dijangka berkapasiti penuh tahun 2020


Tarikh kemaskini: 08/09/2018





BUKIT MERTAJAM, 8 Sept (Bernama) – Empangan Mengkuang yang menjalani proses pembesaran dijangka beroperasi dengan kapisiti maximum menjelang 2020, selepas semua kerja-kerja memastikan keselamatan dan fungsi empangan itu siap sepenuhnya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata empangan tersebut telah diperbesarkan bagi menampung sehingga 73.5 billion liter air daripada kapasiti 22 billion liter air sebelum ini.

Bagaimanapun, Chow berkata integriti struktur empangan itu masih belum dapat dipastikan sepenuhnya sehingga ia dipenuhi pada tahap maksimum 55 meter dan semua kerja-kerja pembaikan selesai.

"Semua kerja termasuk pembersihan cerun, penyelenggaraan dan pembaikan lain kini berada di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang dijangka selesai dalam tempoh dua tahun," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja rasmi ke empangan itu yang disertai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa di sini hari ini.

Chow berkata, kementerian tersebut kini sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf stesen Pam Mak Sulong, memasang paip keluli berdiameter 1.6 meter sepanjang 6.85 kilometer dari stesen Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua dan kerja-kerja membaiki 23 cerun tanah yang runtuh di empangan tersebut.

Chow menjelaskan bahawa kerja menaik taraf stesen Pam Mak Sulong tersebut bagi meningkatkan kapasiti mengepam air mentah dari Sungai Kulim ke Empangan Mengkuang sementara tender untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan cerun di empangan tersebut sedang dibuat Kementerian terbabit.

"Kami memerlukan stesen Pam Mak Sulong untuk membantu memenuhkan??????? empangan semasa musim hujan dan kami memerlukan saluran paip baru sepanjang 6.85km untuk membekalkan air mentah dari empangan ke loji rawatan air Sungai Dua semasa musim kering," katanya.

Chow berkata, Pulau Pinang memerlukan Empangan Mengkuang beroperasi sepenuhnya dan selamat bagi memenuhi keperluan bekalan air penduduk melepasi tahun 2020.

"Selepas semua kerja selesai, ia akan dapat memastikan tiada lagi catuan air di Pulau Pinang dan empangan itu juga akan berfungsi sebagai kawasan rekreasi mesra rakyat," katanya.

Sementara itu, Jaseni juga mengumumkan PBAPP telah menerima dua anugerah peringkat kebangsaan daripada Persatuan Air Malaysia (MWA) yang disampaikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Putrajaya semalam.

Beliau berkata anugerah tersebut Anugerah Pencapaian Industri Air MWA 2018 "Loji Rawatan Air Terbaik" untuk loji rawatan air Sungai Dua dan Anugerah Air Malaysia untuk Pengurusan 2018.

"Sebagai penerima Anugerah Air untuk Pengurusan 2018, saya ingin mendedikasikan penghargaan kepada seluruh pasukan PBAPP yang telah bekerja keras dan sebaiknya untuk menjadikan PBAPP sebuah organisasi terkemuka dalam bekalan air," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel