Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Badang' di Kuala Kangsar tarikan pelancong Eropah


Tarikh kemaskini: 08/09/2018





KUALA KANGSAR, 8 Sept (Bernama) – Kampung Labu Kubong kira-kira 1 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar kini bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong domestik tetapi juga pelancong Eropah menerusi penganjuran Cabaran Badang Ethnosport.

Pengerusi Cabaran Badang Ethnosport 2018 Meor Samsudin Abu Hassan berkata sejak penganjuran cabaran itu lima tahun lepas, kampung itu menerima ribuan pelancong dari Eropah.

"Sejak program ini dilaksanakan pada tahun 2014, tahun lepas sahaja kita berjaya menarik lebih 2,000 pelancong Eropah dan 1,000 pelancong domestik.

"Manakala untuk tahun ini setakat ini kita menerima hampir 3,000  pelancong Eropah dan tentunya kedatangan pelancong ini memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung terutamanya pemilik Homestay," katanya kepada pemberita selepas perasmian Cabaran Badang Ethnosport 2018 di Kampung Labu Kubong di sini hari ini.

Hadir bagi merasmikan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing.

Meor Samsudin, yang juga Penyelaras Persatuan Homestay Labu Kubong, berkata penganjuran acara itu turut memberi impak positif ke atas ekonomi penduduk setempat.

"Selain pemilik inap desa, pembuat kraftangan, makanan tradisional, persatuan tarian dan lain-lain di kampung ini turut diminati pelancong luar," katanya.

Sementara itu, Tan berkata cabaran itu akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri mulai tahun hadapan dan berpotensi dikembangkan ke daerah lain.

"Program ini berpotensi dikembangkan di tempat lain kerana di setiap daerah ada pelbagai keunikan daripada segi budaya dan kesenian tersendiri," katanya.

Cabaran selama tiga hari itu bermula 7 hingga 9 Sept itu menerima penyertaan sebanyak 32 peserta termasuk 15 peserta antarabangsa antaranya Indonesia, Brunei, Tajikistan, Turki dan Australia.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki atas 80 kilogram (kg), lelaki bawah 80 kg dan terbuka wanita.

Cabaran Badang Ethnosport 2018, adalah anjuran Persatuan Homestay Kampung Labu Kubong dengan kerjasama World Strongestman Federation, World Ethnosport Society, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kerajaan Negeri Perak, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar serta Tourism Malaysia Perak.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel