Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hujan lebat berterusan, banjir kilat di Pulau Pinang


Tarikh kemaskini: 07/09/2018




GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Beberapa kawasan di sekitar bahagian pulau di Pulau Pinang mengalami banjir kilat selepas hujan lebat sejak awal pagi ini yang masih berterusan sehingga pukul 7 malam ini.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah di Jalan P.Ramlee; belakang kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi; Lintang P.Ramlee; Jabatan Lorong Kulit; Kampung Batu Uban; halaman Bukit Gambir; Jalan Sultan Azlan Shah; Kampung Makam dan Jalan Langkawi. Tiada mangsa dipindahkan.

Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata Jalan P.Ramlee, Jalan Sungai dan Jalan Perak dinaiki air kira-kira 50 sentimeter.

Jalan-jalan lain yang turut terlibat ialah Simpang Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Bukit di Daerah Timur Laut manakala di Daerah Barat Daya membabitkan Persimpangan Lebuh Kampung Jawa/Sungai Nibong; Jalan Sultan Azlan Shah/Laluan Masuk Jalan Osram menuju ke Bayan Baru; Simpang Lebuhraya Mayang Pasir/CIMB Bank; Simpang Lebuhraya Thean Teik/Jalan Thean Teik/Jalan Angsana dan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Mayang Pasir.

Seorang mangsa banjir yang ditemui di Jalan P.Ramlee, Mohamed Razak Mohamed Shaharudin, 45, berkata rumahnya dinaiki air hingga paras betis dan beliau sempat memindahkan barang-barang elekrik ke tingkat atas kediamannya.

"Memang rumah saya akan masuk air kalau hujan lebat lebih dua jam, sebab itu saya ambil langkah segera alihkan barang-barang. Harap air cepat surut dan kami kena bersihkan rumah lepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata gabungan hujan lebat berterusan bersama peningkatan aras laut menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

"Kadar hujan yang dicatat di Stesen Batu Lancang ialah 74 milimeter (mm) manakala di Stesen Sungai Air Itam ialah 71mm.

“Pada masa itu, aras air Sungai Pinang telah naik sebanyak 2.01 meter (m), aras air laut pula meningkat sebanyak 1.1m...hujan lebat yang berlaku serentak dengan fenomena air pasang menyebabkan air hujan sukar untuk mengalir keluar ke laut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zairil berkata kawasan-kawasan yang dilanda banjir kilat itu merupakan kawasan yang sentiasa ditenggelami air apabila hujan lebat dengan kebanyakannya adalah kawasan yang berhampiran empangan Sungai Pinang.

"Kebanyakan kawasan itu adalah kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan panas banjir," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel