Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rumah dipecah masuk, Guru Besar rugi RM15,000


Tarikh kemaskini: 07/09/2018




BAGAN SERAI, 7 Sept (Bernama) – Seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan di sini, kerugian kira-kira RM15,000 apabila tiga perompak memecah masuk rumahnya dan melarikan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit serta jam tangan dalam kejadian di Matang Pasir, Alor Pongsu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata ketika kejadian, mangsa yang berumur 55 tahun sedang tidur bersama isterinya di sebuah bilik apabila dikejutkan anak lelaki pasangan itu pada 3.45 pagi.

Beliau berkata tiga suspek yang bertopeng serta bersenjatakan kayu dan pisau memasuki bilik anak lelaki mangsa dan memaksanya mengejutkan kedua ibu bapanya.

“Apabila memasuki bilik mangsa (guru besar), suspek mengikat tangan ketiga-tiga mangsa dan menggeledah bilik mangsa dalam tempoh 30 minit sebelum melarikan wang tunai RM5,000, barang kemas dan dua telefon bimbit serta jam tangan melalui pintu belakang rumah itu.

“Ketiga-tiga mangsa, bagaimanapun tidak dicederakan dan mereka berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis pada 8.05 pagi itu,” katanya pada sidang media Taklimat Penugasan Sukan Malaysia (Sukma) XIX 2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata siasatan polis mendapati suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap dapur sebelum memasuki bilik anak mangsa.

Katanya usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api.

Dalam pada itu, 14 pegawai dan 124 anggota polis termasuk dua pasukan tempur ringan (LSF) akan bertugas bagi memastikan Sukma ke-19 berjalan lancar di daerah Kerian.

Beliau berkata ia bagi memastikan tahap kawalan keselamatan atlet, pegawai dan urusetia Sukma berada dalam keadaan baik, selain bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba menggugat ketenteraman awam di daerah ini.

Katanya dua acara bakal diadakan di daerah itu ialah judo dan bola sepak, selain acara berbasikal lebuh raya yang akan melalui Batu Kurau-Jalan Selama-Changkat Lobak-Alor Pongsu-Jalan Siakap-Kuala Kurau-Jalan Gula dan Jalan Simpang Tiga Semanggol, Kampung Dew ke Dataran Warisan di Taiping.

Beliau berkata Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan Bawah 21 Tahun juga akan diadakan serentak dengan Sukma di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kerian.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai MA63 akan ditubuhkan - Liew

 
     

Lapan nelayan asing ditahan, tangkap ikan secara haram di perairan Labuan

 
     

Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di Sabah

 
     

Kerajaan Kedah pinjam bank luar, tambah baik infrastruktur bekalan air

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel