Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemenang cadang urus zakat dan wakaf secara berpusat


Tarikh kemaskini: 07/09/2018




GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mencadangkan penubuhan Lembaga Urusan Zakat Dan Wakaf Malaysia (LUZWAM)bagi membolehkan kutipan zakat di semua negeri diselaraskan dan dipusatkan di bawah satu badan.

Presidennya Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata cadangan itu dibuat selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat  Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan institusi Islam yang telah diperkenankan  oleh Raja-Raja Melayu.

"Baru -baru ini Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan akhbar telah menjemput badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk mengemukakan cadangan supaya jawatankuasa ini dapat menilai dan mempertimbang serta mengambil apa jua  makluman yang perlu bagi kebajikan dan meninggikan sosial, ekonomi masyarakat terutama sekali umat Islam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata sehubungan itu Pemenang telah merangka satu kertas cadangan dan memorandum untuk diserahkan kepada pihak kerajaan Persekutuan supaya menubuhkan LUZWAM dan mencadangkan agar kutipan zakat di seluruh negara dipusatkan di bawah satu badan.

"Pihak Pemenang turut mencadangkan supaya Lembaga ini dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala timbalan pengerusi ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

"Kita mengambil maklum kedudukan zakat ini di bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Mengikut  kajian kutipan zakat pada 2014 mengikut laman website Pusat Urus Zakat negeri-negeri seperti yang disenaraikan pada 2014 adalah sebanyak RM2.1 bilion manakala pada 2016  kutipan RM2.6 bilion. Ia bukan jumlah yang sedikit. 

"Jika ia dipusatkan (di bawah) satu jawatankuasa dan diagih kepada seluruh umat Islam mengikut  asnaf-asnaf yang ditetapkan mengikut syarak, mungkin bakinya boleh dicadangkan dibawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya dapat membeli tanah,  membeli estet untuk kepentingan umat Islam dan dapat juga mendirikan rumah-rumah orang miskin dan sebagainya untuk umat Islam," katanya,

Mohd Yusof berkata kertas cadangan itu akan diserahkan kepada Syed Danial yang juga setiausaha jawatankuasa itu pada hari ini dan berharap jawatankuasa itu mengambil perhatian dan mengemukakan kepada Majlis Raja-Raja Melayu  untuk dipertimbangkan dan  memohon perkenan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel