Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Revolusi Industri 4.0 termasuk juga cara pembelajaran dan pengajaran


Tarikh kemaskini: 07/09/2018




ISKANDAR PUTERI, 7 Sept (Bernama) -- Pensyarah-pensyarah di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara perlu mengubah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak industri.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata PdP IR4.0 tidak semestinya perlu bergantung sepenuhnya kepada teknologi  atau mengguna pakai teknologi yang tinggi tetapi lebih kepada kreativiti dan inovasi penyampaian maklumat oleh pensyarah berkenaan.

“Kita perlu mengajar pelajar kita supaya mereka mudah beradaptasi dengan perubahan-perubahan sekeliling (dari segi teknologi) mereka dan memahami bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi.

Pemahaman yang mendalam juga membolehkan mereka untuk mengajar dan menyampaikan informasi kepada orang lain, jadi pembelajaran sepanjang hidup itu penting terutamanya dalam IR4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Persidangan Pendidik EduCity 2018 yang dianjurkan oleh Newcastle University Medicine Malaysia, University of Southampton Malaysia dan University of Reading Malaysia, di sini, hari ini.

Menurutnya, pensyarah juga perlu menyesuaikan diri dengan teknik pembelajaran masa kini memandangkan pelajar-pelajar pada hari ini boleh mendapat akses kepada maklumat di mana-mana dan pada bila-bila masa mereka perlukan.

Katanya, perubahan itu juga merangkumi aspek-aspek ruang pembelajaran, kurikulum yang lebih organik dan penggunaan aplikasi terkini dalam proses PdP.

“Kementerian berperanan untuk menyiapkan tenaga pengajar dengan kebolehan ini supaya mereka juga dapat menyampaikan maklumat dengan cara menginsankan institusi pengajian tinggi.

Menginsankan ini bermaksud penyampaian maklumat itu dilakukan secara bersemuka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada gajet atau telefon pintar jadi secara tidak langsung kita dapat melahirkan graduan-graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang mahir dalam bidang IR4.0,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan ketika ini juga sedang aktif menawarkan kursus-kursus teknik pembelajaran IR4.0 yang bertujuan untuk mengajar pensyarah-pensyarah dan warga pendidik selain pelajar tentang cara terbaik untuk belajar menggunakan teknologi.

Kursus berkenaan dipimpin oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamed Amin Embi yang pernah menerima Anugerah  Pendidik Individu dan Anugerah Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran, Terbuka (Pembelajaran Atas Talian) oleh Konsortium Pendidikan Terbuka (OEC) di Poland.

“Saya melihat tenaga pengajar tempatan yang berumur 45 tahun ke bawah kebanyakannya sudah bersedia dan boleh menjalankan PdP selari dengan IR4.0 tetapi pensyarah yang berusia atas 45 tahun ini yang memerlukan bimbingan yang lebih.

Persediaan PdP IR4.0 ini tidak tertakluk kepada kelas-kelas atau kursus kemahiran sahaja tetapi juga kepada kursus-kursus lain secara menyeluruh,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi yang terdapat di seluruh negara termasuk politeknik dan kolej komuniti dan sejumlah 177,445 pelajar antarabangsa.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nota suara kematian akibat koronavirus di Bentong palsu

 
     

Pemilihan Bersatu Sabah: Hajiji antara ketua bahagian menang tanpa bertanding

 
     

Sembilan ketua cabang PKR Sabah tuntut tiada tindakan disiplin terhadap Zuraida

 
     

Lori Kontena Terbabas: Trafik sesak di lebuh raya PLUS arah selatan dekat Sungkai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel