Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MACMA bagi sokongan kepada saudara baharu di Kelantan


Tarikh kemaskini: 20/06/2018





Oleh Adnan Mohamad

KOTA  BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Sejak ditubuhkan 22 tahun lalu, pelbagai aktiviti kebajikan yang dilakukan Persatuan  Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan memberi manfaat kepada anggotanya yang kini berjumlah lebih 350 orang di seluruh negeri.

Hasil sumbangan daripada pelbagai pihak itu, banyak aktiviti kebajikan dijalankan terutama dalam membantu saudara baharu yang mungkin menghadapi kesukaran selepas memeluk Islam tanpa mendapat restu keluarga dan disisihkan.

Pengerusi  MACMA Kelantan Johari Yap berkata mualaf yang berdaftar dengan persatuan itu terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan termasuk warga Filipina dan Laos.

Setiap tahun, MACMA menerima sekurang-kurangnya 20 saudara baharu yang memeluk Islam serta mendaftar di persatuan yang terletak di Taman Maju, Jalan Sultan Yahya Petra di sini, katanya kepada Bernama.

Katanya, peranan MACMA antara lain memberi bantuan dari segi ekonomi melalui inisiatif 'Jihad Ekonomi' selain memberi kekuatan dari segi emosi dan semangat serta pemantapan akidah.

"MACMA sentiasa menjaga kebajikan saudara baharu selain memastikan mereka menerima ajaran Islam yang betul dan tidak lari daripada ajaran agama yang sebenar," katanya.

Johari berkata persatuan juga sentiasa mencari dana bagi membantu anggotanya terutama yang ingin membabitkan diri dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.

"Memang setiap tahun kita menerima geran daripada MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) berjumlah RM40,000 dan ia digunakan bagi menjalankan program serta gaji kakitangan.

"Bagi sumbangan zakat pula, kita akan cuba mencarinya daripada pihak luar khususnya bank. Terbaru kami menerima sumbangan RM52,800 daripada pihak Affin Islamic Bank sebagai dana untuk membantu mengembangkan ekonomi anggota persatuan," katanya.

Beliau berkata sudah ramai anggota yang dibantu termasuk sumbangan peralatan menjalankan perniagaan seperti peti sejuk beku, peralatan menjahit dan memproses makanan.

"Kita mengamalkan konsep 'jangan beri ikan tetapi beri pancing'. Melalui cara ini mereka boleh meneruskan usaha mencari rezeki berbanding sekali sumbangan yang boleh dihabiskan sekelip mata. Apa yang penting kita mahu menukar mereka ini daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat pula," jelasnya.

  -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     

Garis panduan permohonan, pembaharuan lesen kilang kimia akan diteliti semula

 
     

Tujuh projek mega di Kedah libat kos lebih RM3.2 bilion

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel